Buletin

RALLIART – SUB JENAMA MITSUBISHI YANG SEMAKIN DILUPAKAN

Peminat rali sudah tentu sudah biasa dengan jenama Ralliart, sub-jenama Mitsubishi yang membantu mereka menguasai perlumbaan WRC dengan penuh jaya. Sejak Lancer Evo dhentikan pengeluaran dan Mitsubishi menarik diri dari WRC, Ralliart juga seolah turut hilang dari radar. Ini sedikit sebanyak kisah Ralliart yang sempat kami gali.

Walaupun Ralliart dikaitkan dengan Mitsubishi sejarahnya bermula bukan di Jepun tapi di England pada tahun 1983. Ia diasaskan oleh pelumba rali Andrew Cohen dan nama asalnya ialah Andrew Cohen Motorsports. Eww.. tak menarik bukan? Tak apa. Teruskan membaca.

Sebagai pelumba rali Cohen telah memenangi banyak perlumbaan dengan memandu kereta keluaran Mitsubishi. Bermula tahun 1972, Cohen telah membuat perjanjian eksklusif dengan Mitsubishi dan bersetuju untuk menyediakan pasukan lumba dan kereta untuk beliau. Paling dikenali tentunya Lancer 1600 GSR 1973 yang telah memenangi East African Safari Rally 1974 dan 1976.

Hubungan rapat beliau dengan Mitsubishi membolehkan beliau mendapat keistimewaan ini dan hasilnya Andrew Cohen Motorsports dijenamakan semula sebagai Ralliart pada tahun 1989. Fokus syarikat ini ialah untuk menghasilkan alat ganti prestasi tinggi untuk kereta-kereta keluaran Mitsubishi baik untuk jalan raya mahu pun perlumbaan rali.

Tahun yang sama juga menyaksikan Ralliart bergabung dengan Mitsubishi secara rasmi untuk perlumbaan WRC. Ralliart mengeluarkan model Galant yang telah ditala mereka dan dikenali dengan nama VR4. Ia juga dikenali dengan nama Evo yang kemudiannya menjelma sebagai nama ikonik bila dikaitkan dengan Mitsubishi.

Kejayaan Ralliart bukan hanya setakat dalam gelanggang WRC tapi mereka juga membuat penampilan di perlumbaan Dakar Rally 2002 dengan menggunakan Pajero yang diubahsuai. Tak cukup dengan itu mereka turut menyertai perlumbaan touring dengan menggunaan Lancer yang diubahsuai. Siapa tak ingat dengan persaingan hebat Ralliart dan STI Subaru dalam perlumbaan WRC.

Ralliart kemudian terlibat dalam pembangunan model-model Lancer Evolution. Malah kesemua model Evo masih lagi dihargai kerana mempunyai kuasa dan kawalan yang sukar ditandingi. Harganya pun makin lama makin merapu (sebab tak mampu beli). Lebih-lebih lagi jika ia edisi istimewa yang mendapat talaan Ralliart.

Pertengahan era 2000 menyaksikan kejatuhan populariti WRC dan satu demi satu pasukan menarik diri. Faktor utama semestinya kos yang semakin meningkat dan sukan rali tidak lagi begitu efektif kerana peningkatan kos akibat kejatuhan ekonomi dunia secara amnya.

Ralliart masih lagi wujud hari ini tapi ia tidak lagi segempak dahulu. Mereka pernah membuat comeback pada tahun 2021 sebagai pasukan rali pada skala kecil. Mereka turut menyertai Asia Cross Country Rally 2024 dengan menggunakan trak pikap Mitsubishi Triton yang diubahsuai khusus dan berjaya mendapat tempat kelima keseluruhan. Mereka berazam untuk lebih berjaya tahun akan datang.

Ralliart juga berfungsi sebagai edisi aksesori untuk model-model seperti Outlander dan Mirage. Ya, nama edisi Ralliart tapi tiada sebarang penambahan kuasa tapi lebih kepada bersifat pakej kosmetik. Alah siapa peduli zaman sekarang. Janji ada lencana Ralliart terus rasa power macam Jackie Chan dalam filem Thunderbolt.

Google ads
Back to top button