Buletin

KINETA PERKUKUH RANGKAIAN PENGECAS EV MELALUI KERJASAMA BAHARU ZD ENERGY

KINETA meneruskan kerjasama strategik bersama ZD Energy apabila kedua-dua pihak memeterai lanjutan perjanjian pengedaran eksklusif selama tiga tahun lagi bagi memperkukuh pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dan Singapura.

Melalui perjanjian baharu itu, anak syarikat Sime Darby Berhad berkenaan terus diberikan hak tunggal untuk mengedarkan rangkaian penyelesaian pengecas EV dan tenaga pintar keluaran ZD Energy di kedua-dua negara.

Kerjasama yang bermula sejak Januari 2022 itu menyaksikan KINETA berkembang sebagai antara pemain utama dalam industri pengecas EV tempatan dengan lebih 14,000 unit pengecas berjaya dijual serta kira-kira 9,500 pemasangan dilakukan di seluruh Malaysia.

Penyelesaian pengecasan KINETA kini digunakan oleh pelbagai jenama automotif global termasuk BMW, MINI, BYD, Jaguar Land Rover, Hyundai, Porsche, Volvo, Proton e.MAS, Tesla, Zeekr dan GWM.

Selain memperkukuh kedudukan di Malaysia, syarikat itu turut merancang untuk memperluaskan operasi ke Singapura, di samping meneruskan pengembangan perniagaan di Hong Kong dan China.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut menjadi platform pelancaran serantau bagi beberapa produk pengecas EV generasi baharu ZD Energy, termasuk Mini Z, Explorer 2 Flex, Explorer 2 Pro serta pengecas DC berintegrasi bateri.

Rangkaian produk baharu tersebut menawarkan sistem pengecasan lebih pintar dan fleksibel untuk kegunaan kediaman serta komersial, selain menyokong pengecasan pantas DC yang lebih mesra grid elektrik.

Pengarah Urusan KINETA, Sunny Lee berkata, kerjasama yang diteruskan itu mencerminkan keyakinan tinggi pasaran terhadap kemampuan syarikat dalam menyediakan infrastruktur EV berkualiti tinggi di rantau ini.

Menurutnya, kedudukan KINETA sebagai rakan infrastruktur kepada pelbagai pengeluar automotif utama dunia menjadi pemangkin untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan syarikat di Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZD Energy, Dr Amy Shang berkata, gabungan kepakaran serantau Sime Darby bersama kekuatan teknologi ZD Energy diyakini mampu memperluaskan penggunaan penyelesaian tenaga hijau di Asia Pasifik.

ZD Energy yang ditubuhkan pada 2010 dan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong kini merupakan antara peneraju pengecas EV persendirian di China dengan lebih dua juta unit pengecas telah dihantar ke pasaran global.

Google ads
Back to top button