
TEMPAHAN ZEEKR 009 GRAND DAN ZEEKR 9X KINI DIBUKA, HARGA MULA RM600K
Jenama EV premium, Zeekr Malaysia membuat penampilan sulung di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) dengan membawa dua model mewah terbaharu iaitu Zeekr 009 Grand dan Zeekr 9X.
Antara tarikan utama di ruang pameran Zeekr di KLIMS 2026 ialah kemunculan pertama Zeekr 009 Grand, sebuah MPV ultra mewah empat tempat duduk yang memberi fokus kepada keselesaan penumpang belakang.
Model ini tampil dengan pelbagai ciri eksklusif termasuk tempat duduk urut premium dengan fungsi terapi batu panas, skrin MiniLED bersaiz 43-inci serta sistem audio 31 pembesar suara.
Tidak cukup dengan itu, ruang kabin turut menerima kemasan premium seperti trim marmar semula jadi dari Himalaya, butang kristal lutsinar dan peti sejuk terbina dalam bersaiz 18 liter.
Bagi aspek privasi, Zeekr turut melengkapkan 009 Grand dengan cermin gelap elektronik, partition pintar antara pemandu dan penumpang serta dua peti simpanan elektronik berkunci.

Spesifikasi utama Zeekr 009 Grand:
• MPV elektrik ultra mewah empat tempat duduk
• Tempat duduk urut dengan fungsi terapi batu panas
• Skrin MiniLED 43-inci
• Sistem audio 31 pembesar suara
• Peti sejuk 18 liter
• Kemasan marmar semula jadi dan butang kristal
• Cermin privasi elektronik pintar
• Rim forged terapung 20-inci
• Gril hadapan DARK BADGE kemasan hitam berkilat
Turut diperlihatkan ialah Zeekr 9X, SUV mewah berprestasi tinggi yang dibangunkan menggunakan platform SEA-S bersama seni bina elektrik 900V.
SUV ini menggunakan sistem SEA Super Hybrid dengan kuasa maksimum sehingga 1,030kW, membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai dalam masa hanya 3.1 saat.
Menurut Zeekr, model ini juga mampu menawarkan jarak perjalanan gabungan sehingga 1,250km (CLTC) selain menyokong pengecasan ultra pantas dari 20 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 8.5 minit.
Untuk pengendalian lebih canggih, Zeekr 9X dilengkapi casis digital AI SEA bersama suspensi udara adaptif dan sistem kawalan olengan aktif bagi memastikan keselesaan serta kestabilan di pelbagai permukaan jalan.
Spesifikasi utama Zeekr 9X:
• SUV mewah prestasi tinggi
• Platform SEA-S dengan sistem 900V
• Kuasa maksimum sehingga 1,030kW
• 0-100 km/j dalam 3.1 saat
• Jarak perjalanan sehingga 1,250km (CLTC)
• Pengecasan 20-80% dalam 8.5 minit
• Suspensi udara adaptif
• Kawalan olengan aktif
• Sistem keselamatan SEA Safety Armor
• Skrin OLED 3K 17-inci
• Sistem audio Naim 3,800W
• Kabin tiga baris dengan tempat duduk Cloud Lounge
Dari segi harga, Zeekr 009 Grand ditawarkan bermula RM600,000 manakala Zeekr 9X bermula RM800,000.
Kedua-dua model baharu ini kini sudah dibuka untuk tempahan dan pengunjung boleh melihatnya secara dekat di KLIMS 2026 yang berlangsung di MITEC Kuala Lumpur dari 12 hingga 21 Jun 2026.






