
JETOUR BUKA TEMPAHAN T2 i-DM DI KLIMS 2026
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026 – JETOUR Malaysia terus mengukukan kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan dengan membuka tempahan rasmi bagi model terbaharunya, JETOUR T2 i-DM (Intelligence Dual Mode), sebuah SUV hibrid plug-in (PHEV) yang diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026).
Kemunculan model ini mencerminkan komitmen JETOUR terhadap perkembangan mobiliti elektrifikasi, selari dengan peningkatan minat pengguna tempatan terhadap kenderaan yang lebih cekap tenaga dan mesra alam.
Dengan gabungan prestasi dan teknologi terkini, T2 i-DM dilihat sebagai pilihan ideal bagi pengguna yang ingin beralih kepada kenderaan tenaga baharu tanpa menjejaskan keupayaan dan karakter sebuah SUV lasak.
JETOUR T2 i-DM dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter TGDI yang digandingkan dengan sistem hibrid dwi-motor serta transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga kelajuan. Konfigurasi ini membolehkan kenderaan menghasilkan kuasa gabungan sehingga 265 kW dan tork maksimum 610 Nm, sekali gus menawarkan prestasi pecutan yang responsif dan mantap dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Selain prestasi, aspek kecekapan juga menjadi keutamaan utama model ini. T2 i-DM mampu mencapai jarak perjalanan elektrik sepenuhnya melebihi 100 kilometer, manakala jarak perjalanan keseluruhan boleh mencecah sehingga 1,200 kilometer. Ini menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian di bandar serta perjalanan jarak jauh tanpa kebimbangan terhadap jarak atau penggunaan bahan api.
Bagi kemudahan pengguna, kenderaan ini turut menyokong pengecasan menggunakan arus ulang-alik (AC) dan arus terus (DC), memberikan fleksibiliti tambahan kepada pemilik dalam situasi penggunaan yang berbeza.
Dalam aspek keselamatan dan teknologi, JETOUR T2 i-DM dilengkapi dengan pelbagai ciri moden termasuk sistem bantuan pemandu tahap 2 (ADAS), enam beg udara SRS serta sistem pemantauan pandangan panoramik. Ciri-ciri ini direka untuk meningkatkan keselamatan serta memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu ketika berada di jalan raya.
Reka bentuk dalaman yang moden dan berteknologi tinggi turut menekankan keselesaan serta kemudahan pengguna, menjadikan pengalaman pemanduan lebih intuitif dan menyenangkan.
JETOUR T2 i-DM dijangka ditawarkan pada harga indikatif sekitar RM168,888, dengan pakej pemilikan dan jaminan yang komprehensif. Tempahan kini dibuka di semua pengedar sah JETOUR di seluruh negara.

Sempena KLIMS 2026, JETOUR turut menawarkan pelbagai promosi menarik kepada pelanggan. Pengunjung yang membuat tempahan model T2 akan menikmati rebat RM2,000, manakala model lain seperti Dashing dan VT9 masing-masing ditawarkan rebat sehingga RM10,000 dan RM15,000.
Selain pelancaran T2 i-DM, reruai JETOUR di KLIMS 2026 turut mempamerkan keseluruhan barisan SUV mereka, termasuk model T1, T2, VT9 dan Dashing. Malah, syarikat ini turut memperkenalkan buat pertama kalinya kereta konsep G700, menggambarkan hala tuju masa depan jenama tersebut.
Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi pandu uji untuk merasai sendiri prestasi model-model yang dipamerkan, selain menikmati pelbagai aktiviti interaktif dan hadiah menarik yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada April 2024, JETOUR terus berkembang sebagai jenama yang memberi fokus kepada gaya hidup dan pengembaraan, selari dengan strategi “Travel+” yang diketengahkan. Dengan slogan “Drive Your Future”, syarikat ini komited untuk menawarkan kenderaan yang memenuhi keperluan pengguna moden dari segi prestasi, teknologi dan nilai.

Pelancaran JETOUR T2 i-DM bukan sahaja meluaskan portfolio produk syarikat, malah menandakan langkah penting dalam usaha memperkenalkan teknologi elektrifikasi yang lebih banyak kepada pengguna Malaysia. Ia sekali gus mengukuhkan aspirasi JETOUR untuk menjadi salah satu pemain utama dalam segmen SUV dan mobiliti masa depan di negara ini.








