
MAZDA CX-5 SERBA BAHARU DITAYANG DI KLIMS
Bermaz Motor secara rasmi memperkenalkan Mazda CX-5 Serba Baharu kepada orang ramai menerusi sesi pratonton eksklusif di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026). SUV generasi baharu ini sebelum ini telah membuat penampilan sulung di peringkat global pada tahun 2025 dan menjadi simbol kepada evolusi terkini model paling penting dalam barisan SUV Mazda.
Sebagai antara model paling popular, Mazda menyatakan bahawa pembangunan CX-5 baharu memberi tumpuan kepada falsafah kejuruteraan yang berpusatkan manusia, dengan penekanan terhadap pengalaman pemanduan yang lebih semula jadi, intuitif dan selesa.
Model ini turut direka untuk menawarkan keseimbangan antara keselesaan, pengendalian serta praktikal untuk kegunaan harian yang menjadi identiti utama CX-5. Dari segi rekaan luaran, Mazda CX-5 baharu dibangunkan berasaskan konsep “Wearable Gear”, sekali gus menampilkan imej yang lebih sporty dan berkarisma.
Dimensi yang lebih besar bersama jarak roda yang dipanjangkan turut meningkatkan kehadiran di atas jalan raya, malah turut menyumbang kepada tahap kestabilan dan ruang penggunaan yang lebih praktikal. Rekaan ini digabungkan dengan bahasa reka bentuk Kodo yang menampilkan permukaan badan lebih kemas, grafik lampu yang diperhalusi serta pendirian yang lebih tegap.

Untuk kemasan kabin pula, Mazda mengekalkan pendekatan yang memfokuskan kepada suasana dalaman yang tenang dan harmoni. Susun atur ruang direka bagi memudahkan penggunaan sambil meningkatkan tahap keselesaan pemandu dan penumpang, sama ada ketika memandu di dalam bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Selain daripada itu, penggunaan material yang dipertingkatkan, aspek ergonomik yang lebih baik serta tahap penebatan bunyi yang lebih efektif membantu memberikan pengalaman yang lebih premium.
Mazda turut melengkapkan CX-5 baharu dengan sistem sambungan digital dan infotainmen generasi terkini yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden. Ini menjadikan SUV tersebut sesuai digunakan untuk rutin harian mahupun perjalanan hujung minggu, sambil menawarkan pengalaman yang lebih fleksibel dan meyakinkan kepada pengguna.
Bagi pasaran Malaysia, Bermaz Motor mengesahkan bahawa tempahan untuk Mazda CX-5 Serba Baharu akan dibuka di semua bilik pameran sah Mazda di seluruh negara bermula 12 Jun 2026, lebih awal sebelum pelancaran rasminya.

Selain CX-5 baharu, ruang pameran Mazda di KLIMS 2026 turut menampilkan beberapa model lain termasuk Mazda CX-60 3.3 MHEV, yang membuat kemunculan sulung kepada orang ramai, bersama Mazda3 2.0L, Mazda MX-5 dan Mazda CX-80 2.5L PHEV. Pengunjung juga berpeluang mencuba sendiri pengalaman memandu Mazda3 2.0L dan Mazda CX-5 2.5L menerusi sesi pandu uji eksklusif yang disediakan sepanjang pameran berlangsung.





