
KLIMS 2026: HONDA PRELUDE RASMI DILANCARKAN, HARGA MULA RM278K
Honda Malaysia rasmi memperkenalkan semula nama legenda Prelude menerusi pelancaran All-New Prelude di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Model generasi keenam itu hadir dengan pendekatan moden yang menggabungkan karakter sporty, keselesaan premium serta kepraktisan harian.
Dibangunkan berasaskan konsep “Unlimited Glide”, coupe grand tourer ini tampil dengan rekaan fastback elegan bersama garis badan aerodinamik.
Penampilan luaran turut diperkemaskan dengan gril Black Chrome, lampu LED penuh, pemegang pintu jenis flush serta rim aluminium 19-inci lengkap angkup brek Brembo berwarna biru.

Nadi utama All-New Prelude ialah enjin hibrid 2.0L e:HEV yang menghasilkan kuasa 184PS dan tork 315Nm.
Model ini juga memperkenalkan teknologi S+ Shift buat kali pertama dalam barisan Honda Malaysia. Teknologi hibrid tersebut mengawal RPM enjin dengan lebih tepat ketika pecutan dan nyahpecutan bagi memberikan rasa pertukaran gear lebih agresif dan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.
Sistem itu turut dipadankan dengan Active Sound Control (ASC) serta paparan dinamik pada meter kuasa untuk meningkatkan interaksi antara pemandu dan kenderaan.
Prelude baharu ini menawarkan tiga mod pemanduan utama iaitu Sport, GT dan Comfort. Mod Sport memberi pengendalian lebih tajam dan stabil, GT pula menekankan keselesaan premium untuk perjalanan jauh, manakala Comfort menyediakan karakter pemanduan lebih santai dengan stereng ringan dan penghantaran kuasa lebih lembut.

Pemandu turut boleh menyesuaikan tetapan seperti sistem kuasa, stereng, suspensi, bunyi enjin dan paparan meter menerusi mod Individual mengikut citarasa sendiri.
Buat pertama kali dalam model Honda, Prelude turut dilengkapi fungsi Coasting Control Operation yang membantu kenderaan memperlahankan kelajuan dengan lebih lancar tanpa perlu terlalu kerap menekan pedal brek atau minyak.
Dari sudut pengendalian, coupe ini menerima beberapa teknologi diadaptasi daripada Type R termasuk suspensi hadapan dual-axis strut dan Adaptive Damper System untuk tahap kestabilan dan keyakinan lebih tinggi ketika mengambil selekoh.
Sistem Agile Handling Assist (AHA) juga membantu meningkatkan kestabilan terutama dalam situasi mengelak halangan.

Ruang kabin pula direka berasaskan konsep “Gliding Cockpit” yang menampilkan susun atur moden dan kemas bagi memberi pengalaman pemanduan lebih fokus serta selesa.
Tempat duduk pemandu direka untuk kawalan optimum, manakala tempat duduk penumpang memberi penekanan kepada keselesaan dan kemudahan keluar masuk.
Sistem infotainmen menggunakan paparan audio 9-inci dengan Google Built-in yang menyokong Google Assistant, Google Maps dan Google Play. Sistem audio Bose Premium Sound System turut disediakan untuk pengalaman bunyi lebih premium.
Walaupun tampil sebagai coupe sport, Prelude masih menawarkan ruang kargo praktikal yang mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi pakej Honda SENSING yang merangkumi pelbagai teknologi bantuan pemandu moden bagi meningkatkan tahap keselamatan sepanjang perjalanan.
All-New Prelude ditawarkan pada harga RM278,000 dan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Winter Frost Pearl, Rallye Red dan Crystal Black Pearl.
SPESIFIKASI RINGKAS HONDA ALL-NEW PRELUDE
- Enjin: 2.0L e:HEV Hybrid
- Kuasa maksimum: 184PS
- Tork maksimum: 315Nm
- Teknologi baharu: S+ Shift
- Mod pemanduan: Sport, GT, Comfort & Individual
- Suspensi: Dual-axis strut front suspension
- Sistem kawalan: Adaptive Damper System & Agile Handling Assist
- Rim: 19-inci aluminium
- Sistem audio: Bose Premium Sound System
- Infotainmen: 9-inci Display Audio dengan Google Built-in
- Keselamatan: Honda SENSING
- Harga: RM278,000
- Warna: Winter Frost Pearl, Rallye Red, Crystal Black Pearl
GALERI:




















