Buletin

WTCA PERKENAL DUA VARIAN BAHARU GAC GS3 EMZOOM CKD: HARGA BERMULA RM103K

WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd, secara rasmi melancarkan barisan kenderaan 2024 GAC GS3 EMZOOM di Malaysia dengan memperkenalkan dua varian baharu yang dipasang secara tempatan. 

Varian premium, GAC GS3 EMZOOM Premium R, kini disertai oleh GS3 EMZOOM Standard dan GS3 EMZOOM Exclusive, melengkapkan projek pengeluaran tempatan WTCA bagi SUV segmen-B ini.

Langkah ini merupakan susulan kepada pengenalan awal GS3 EMZOOM sebagai model CBU (Completely Built-Up) pada April 2024.

Dari segi reka bentuk luaran, kesemua varian GS3 EMZOOM menampilkan gril Mecha Wing, lampu depan LED Laser Eye Split, serta pemegang pintu elektrik tersembunyi yang memberi sentuhan futuristik dan aerodinamik pada profil sisi.

Bahagian belakang pula dilengkapi lampu belakang Light Dart dan spoiler, sementara rim aloi 18-inci melengkapkan penampilan kesemua varian.

Varian GS3 Premium R membezakan dirinya melalui R-Style Sport Package dan R-Style Exhaust yang memberikan imej lebih agresif.

Di dalam, semua varian dilengkapi dengan skema warna biru-hitam kontemporari serta menerima ciri mewah lain seperti tuil gear elektronik kristal dan stereng pelbagai fungsi boleh laras empat hala.

Kelengkapan lain kesemua varian termasuklah sistem infotainmen skrin sentuh 10.25-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, brek parkir elektronik dengan fungsi tahan automatik, dan sistem Blind Spot Vision (BSV) sebagai standard.

Varian GS3 Premium R menawarkan kemewahan tambahan dengan ciri-ciri seperti lampu automatik, High Beam Assist, Fusion Automatic Parking Assist, pelarasan tempat duduk pemandu enam hala kuasa, lampu ambien berwarna-warni, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tailgate kuasa bebas tangan serta bumbung suria panorama.

Bagi varian GAC GS3 EMZOOM Standard, ia ditawarkan dalam dua warna pilihan iaitu Frost White dan Asphalt Black.

Varian GAC GS3 EMZOOM Exclusive pula menawarkan dua lagi pilihan warna tambahan, iaitu Salt Lake Blue dan Superstar Silver.

Kesemua warna ini juga boleh didapati untuk varian GS3 EMZOOM Premium R, yang turut hadir dengan warna eksklusif Graphite Grey serta kemasan luaran berwarna oren.

Apa yang menarik, warna Asphalt Black dan Graphite Grey adalah eksklusif kepada model GAC GS3 EMZOOM pemasangan tempatan, dan buat masa ini, warna-warna ini tidak ditawarkan di mana-mana pasaran lain di luar Malaysia.

Beralih pada kuasa, kesemua varian GAC GS3 EMZOOM dikuasakan oleh enjin 1.5-liter empat silinder turbocharged keluaran GAC yang mampu menghasilkan 177PS pada 5,500rpm serta 270Nm tork pada 1,400rpm hingga 4,500rpm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan (7WDCT), membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 8.0 saat.

Prestasi ini dipadankan dengan penggunaan bahan api yang memenuhi piawaian Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dengan purata penggunaan hanya 5.9 liter bagi setiap 100km.

Untuk harga pula, perinciannya adalah seperti berikut:

  • GAC GS3 EMZOOM Standard: bermula RM103,800
  • GS3 EMZOOM Exclusive: bermula RM116,800
  • GS3 EMZOOM Premium R: bermula RM126,800

Bagi memastikan ketenangan fikiran maksimum untuk pemilik kenderaan GAC GS3 EMZOOM 2024, ia didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000km untuk semua varian.

Lebih istimewa, pelanggan terawal juga berpeluang menikmati perlindungan tambahan bagi enjin dan transmisi, dengan jaminan selama tujuh tahun atau 180,000km, tertakluk kepada terma dan syarat rasmi. Tawaran ini diberikan kepada 2,000 pelanggan pertama.

Selain itu, bagi meraikan kejayaan projek CKD (Completely Knocked Down) pertama GAC, WTCA telah melancarkan kempen Rev Up with EMZOOM yang berlangsung sehingga 31 Disember 2024.

Dalam kempen ini, pelanggan boleh menikmati Rev Up Deals yang menawarkan rebat tunai sebanyak RM5,000 untuk varian Exclusive dan RM7,000 untuk varian Premium R.

Harga promosi yang ditawarkan bermula dari RM111,800 bagi GS3 EMZOOM Exclusive dan RM119,800 untuk GS3 EMZOOM Premium R.

WTCA turut menawarkan pilihan pakej yang bernilai dengan Bundling Complimentary Maintenance Service dan Smart Watch Key bernilai RM1,388 sebagai alternatif kepada rebat tunai.

GALERI:

GAC GS3 EMZOOM Standard:

GS3 EMZOOM Exclusive:

Google ads
Back to top button