
U MOBILE PENAJA RASMI SIARAN PIALA DUNIA 2026™, BAWA DEMAM BOLA SEPAK KE RTMKLIK
U Mobile diumumkan sebagai penaja rasmi siaran FIFA World Cup 2026™ di platform RTMKlik, sekali gus membolehkan pelanggan syarikat telekomunikasi itu menikmati akses penstriman semua 104 perlawanan kejohanan bola sepak terbesar dunia tersebut.
Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu negara, U Mobile berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membawa rakyat Malaysia lebih dekat dengan kemeriahan Piala Dunia melalui pengalaman penstriman yang lancar dan mudah diakses.
Bagi memeriahkan lagi sambutan kejohanan berprestij itu, U Mobile turut melancarkan kempen ULTRA Football Fest yang menawarkan pelbagai hadiah dan pengalaman eksklusif kepada pelanggan.
Antara hadiah utama ditawarkan ialah ULTRA Dream Football Tour bernilai RM250,000 untuk seorang pemenang bersama tiga ahli keluarga atau rakan bagi menikmati pengalaman melancong ke beberapa bandar bola sepak terkenal dunia.
Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi empat pakej ULTRA Home Stadium Makeover lengkap dengan barangan Samsung bernilai RM50,000 setiap satu, 50 unit Samsung S26 Ultra, 100 unit Samsung 65 inci Crystal UHD 4K Smart TV serta 500 jersi rasmi pasukan bertanding FIFA World Cup 2026™.
Dalam pada itu, U Mobile turut memperkenalkan ULTRA Football Pass yang membolehkan pelanggan pelan mudah alih dan jalur lebar menikmati data harian tanpa had untuk menstrim semua perlawanan di RTMKlik.
Pas tersebut boleh ditebus menerusi aplikasi MyUMobile bermula 11 Jun hingga 20 Julai 2026.
Kempen ULTRA Football Fest pula berlangsung dari 5 Jun hingga 31 Julai 2026 dan terbuka kepada pelanggan yang melanggan, menaik taraf pelan atau membeli peranti di bawah pelan ULTRA Prepaid, ULTRA Postpaid serta U Home 5G Broadband.
Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile, Navin Manian berkata, pelantikan sebagai penaja rasmi siaran FIFA World Cup 2026™ di RTMKlik merupakan satu pencapaian penting buat syarikat itu.
“Melalui kerjasama ini, kami mahu memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati setiap aksi Piala Dunia dengan pengalaman penstriman yang lancar di samping ganjaran dan aktiviti menarik sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai ULTRA Football Fest dan ULTRA Football Pass boleh didapati menerusi laman web rasmi U Mobile.







