
ROYAL ALLOY GT125S DAN GT160S DILANCARKAN – HARGA MULA RM9.8K
Royal Alloy, secara rasmi melancarkan barisan baharu Gran Turismo ke pasaran Malaysia, hadir dalam dua varian – GT125S dan GT160S.
Model ini menggabungkan gaya retro ikonik dengan teknologi moden, sekali gus menawarkan alternatif menarik kepada peminat skuter klasik yang mahukan prestasi semasa.
Kedua-duanya tampil dengan rekaan yang mengekalkan identiti skuter klasik, namun dipadankan dengan ciri moden termasuk paparan digital, fungsi screen-mirroring serta ruang simpanan praktikal untuk kegunaan harian.

Ia hadir dengan tempat duduk ergonomik, talaan suspensi baharu serta posisi tunggangan santai yang sesuai untuk perjalanan dalam bandar mahupun jarak sederhana.
Kedua-duanya hadir dengan rangka badan yang kukuh dipadankan bersama enjin cekap bahan api bagi memberikan pemanduan lebih lancar dan responsif.
Bagi varian GT125S, ia menggunakan enjin silinder tunggal 124cc, empat injap dan penyejukan cecair, menghasilkan kuasa maksimum 9.8kW pada 8,500rpm dan tork 12Nm pada 6,500rpm. Sistem penghidup elektrik disediakan sebagai standard.

Bagi GT160S, ia dijana enjin silinder tunggal 158cc, empat injap dengan sistem penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 12kW pada 8,500rpm dan tork 13.5Nm pada 5,500rpm.
Dari segi dimensi, GT125S mempunyai panjang 1,920mm, lebar 695mm dan tinggi 1,110mm dengan jarak roda 1,380mm.
Berat tanpa muatan ialah 145kg, manakala ketinggian tempat duduk 750mm menjadikannya mesra penunggang pelbagai ketinggian. Kelegaan tanah pula berada pada 320mm.
Sistem suspensi menggunakan penyerap hentak hidraulik boleh laras di hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang.

Kedua-dua roda menggunakan tayar bersaiz 120/70-12, manakala sistem brek cakera 220mm dipasang pada bahagian depan dan belakang. Tangki bahan api berkapasiti 9 liter dan model ini mematuhi piawaian emisi Euro 5+.
Ciri lain termasuklah lampu hadapan LED, lampu isyarat LED, lampu belakang LED serta bateri 12V 9Ah.
Untuk dimensi GT160S, ia berkongsi ukuran sama seperti varian 125S. Berat tanpa muatan meningkat kepada 152kg, manakala ketinggian tempat duduk kekal 750mm. Kelegaan tanah ialah 320mm dengan kapasiti beban maksimum 295kg.

Untuk warna, GT125S ditawarkan dalam tiga pilihan, iaitu;
- Ivory
- Matte Silver
- Pink
Sementara, Royal Alloy Gran Turismo 160S ditawarkan pilihan warna;
- Meteorite Grey
- Dark Jade
- Lemon Yellow
Beralih pada harga, Royal Alloy Gran Turismo ditawarkan dengan harga RM9,800 untuk GT125S dan RM12,800 bagi GT160S.
Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran. Model ini kini boleh didapati di rangkaian pengedar rasmi Royal Alloy di seluruh negara.
GALERI:





































