
GWM Hi2: LEBIH RINGKAS TAPI HASILKAN 223 PS 476NM
Sistem hibrid Hi2 ialah asas kepada strategi elektrifikasi Great Wall Motor yang dibangunkan untuk memberikan keseimbangan antara kecekapan bahan api, kelancaran pemanduan dan kos pemilikan yang rendah.
Berbeza dengan sistem lebih kompleks seperti Hi4, Hi2 mengekalkan konfigurasi pacuan roda hadapan yang lebih ringkas, tetapi masih menggunakan kaedah series-parallel hybrid yang canggih. Dalam kelajuan rendah, kenderaan boleh bergerak sepenuhnya menggunakan motor elektrik manakala pada kelajuan sederhana, enjin dan motor bekerjasama
Untuk kelajuan tinggi pula enjin akan memacu roda secara terus untuk mencapai kecekapan optimum menerusi sistem gear DHT. Semua peralihan ini berlaku secara automatik dan hampir tidak disedari oleh pemandu, menjadikan pengalaman pemanduan sangat lancar.
Salah satu elemen utama yang membezakan Hi2 ialah penggunaan Dedicated Hybrid Transmission (DHT). Tidak seperti e-CVT yang bergantung kepada nisbah elektronik, DHT menggunakan gear sebenar bersama klac untuk mengawal penghantaran kuasa.
Reka bentuk ini membolehkan kuasa dihantar dengan lebih langsung dan efisien, khususnya pada kelajuan tinggi. Dari sudut kecekapan mekanikal, DHT mampu mencapai sekitar 95–97% kecekapan pemindahan kuasa, sekali gus mengurangkan kehilangan tenaga dan meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem.

Nadi kepada sistem Hi2 ialah enjin 1.5 liter turbo empat silinder menggnakan kod GW4B15. Enjin ini direka khas untuk aplikasi hybrid dan menggunakan prinsip Miller cycle, di mana injap kemasukan dibiarkan terbuka lebih lama untuk mengurangkan tekanan mampatan efektif.
Pendekatan ini meningkatkan kecekapan terma enjin, yang berada dalam lingkungan 38% hingga 41%, satu angka yang sangat kompetitif untuk enjin pembakaran dalaman moden. Enjin Miller cycle secara semula jadi mengurangkan jumlah udara yang dimampatkan, sekali gus menjejaskan kuasa.
Bagi mengatasi kekurangan ini, GWM menggunakan turbo untuk memampatkan udara masuk dan memulihkan prestasi enjin. Hasilnya, enjin ini mampu menghasilkan sekitar 150 hingga 170 PS dan 220 hingga 250 Nm dan mengekalkan tahap kecekapan bahan api yang tinggi.
Enjin ini turut disokong oleh teknologi seperti suntikan bahan api tekanan tinggi, pengurusan haba yang cekap dan integrasi rapat dengan motor elektrik dalam sistem DHT. Apabila enjin digabungkan dengan motor elektrik dalam sistem Hi2, sistem ini mampu menghasilkan sekitar 200 hingga 240 PS kuasa gabungan, dengan tork keseluruhan boleh mencecah 450 hingga 550 Nm.
Gabungan ini juga membolehkan penghantaran kuasa yang lebih responsif, kerana motor elektrik boleh memberikan tork maksimum secara serta-merta, manakala enjin turbo menyumbang kuasa tambahan apabila diperlukan.

Apabila semua komponen digabungkan, sistem Hi2 menawarkan tahap kecekapan yang sangat tinggi. Dalam mod elektrik, kecekapan tenaga boleh mencecah sekitar 90%, manakala dalam mod hibrid, sistem sentiasa memilih kombinasi paling efisien antara enjin dan motor.
Dalam pemanduan bandar, motor elektrik memainkan peranan utama untuk mengurangkan penggunaan bahan api, manakala dalam pemanduan lebuh raya, enjin mengambil alih dengan lebih efisien berbanding sistem yang bergantung sepenuhnya kepada motor-generator.
Untuk penggunaan sebenar,ujian menggunakan GWM Ora 05 menunjukkan potensi sistem ini dari segi penjimatan bahan api. Dalam konfigurasi hibrid, penggunaan bahan api boleh mencapai sekitar 26.6 km/l, bergantung kepada gaya pemanduan dan keadaan trafik. Angka ini meletakkan sistem Hi2 setanding dengan sistem hybrid terbaik di pasaran dari segi kecekapan.
Dalam banyak sistem hybrid, enjin tanpa turbo digunakan bagi memaksimumkan kecekapan, tetapi menghasilkan prestasi yang kurang bertenaga. Dengan menambah turbo, GWM memastikan enjin mampu memberikan tork tambahan pada kelajuan rendah dan sederhana, sekali gus menghasilkan pemanduan yang lebih responsif.
Turbo juga membolehkan enjin beroperasi dalam julat kecekapan yang lebih luas. Dalam keadaan tertentu, enjin boleh bekerja dengan lebih ringan kerana dibantu oleh motor elektrik, manakala dalam situasi lain, turbo menyediakan kuasa tambahan tanpa perlu meningkatkan kapasiti enjin.

Sistem Hi2 memperlihatkan pendekatan GWM dalam menggabungkan kecekapan tinggi dengan pengalaman pemanduan yang lebih natural. Dengan enjin 1.5L turbo berkod GW4B15 yang mencapai kecekapan terma sehingga sekitar 40%, transmisi DHT dengan kecekapan mekanikal sehingga 97%, serta output gabungan sehingga sekitar 240 PS dan 550 Nm, Hi2 menawarkan pakej yang seimbang antara prestasi dan penjimatan bahan api.

