SALURAN PAIP GAS SABAH-SARAWAK MILIK PETRONAS TERBAKAR. 1 MAUT, 2 CEDERA
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan insiden kebakaran berlaku di Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP 132, berdekatan Lawas, Sarawak pada lewat tengah tadi.
Petronas berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan kontraktor pihak ketiga yang melakukan kerja-kerja tidak berkaitan dengan operasi SSGP berhampiran kawasan izin lalu (ROW) saluran paip.
“Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat minyak dan gas milik negara itu berkata, ia telah menggerakkan pasukan bertindak kecemasan ke kawasan insiden berkenaan.
“Petronas sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Sebelum itu, media melaporkan seorang maut manakala dua lagi cedera selepas SSGP Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada kira-kira 2 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian jam 2.49 petang, dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi.
Katanya, setakat ini, identiti mangsa yang meninggal dunia hanya dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa.
Keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter dengan membabitkan dua jentera berat serta sebuah lori.