Artikel Pilihan

SEJARAH MODEL MAZDA MX. DARI MIATA SEHINGGALAH KE MX-30

Mazda MX-30 merupakan model kereta elektrik pertama daripada Mazda. Tapi adakah anda perasan kenapa ia menggunakan tatanama MX-30 walaupun ia diasaskan dari platform yang sama dengan Mazda CX-30 petrol? Kebiasaan kod nama MX ini digunakan oleh model sport seperti Mazda MX5 Miata.

Dari segi rekaan, Mazda MX-30 menggunkaan rekaan freestyle door sama seperti yang digunakan oleh RX-8 satu ketika dulu. Pintu belakang boleh dibuka selepas pintu depan dibuka. Malah bahagian dalaman MX-30 menggunakan bahan seperti gabus, mengingatkan kita bahawa Mazda merupakan syarikat yang menghasilkan gabus satu ketika dulu

Sebenarnya kod nama MX digunakan pada kereta yang memberi cabaran yang besar kepada pasukan jurutera Mazda untuk dihasilkan dan memberi nilai pengalaman baru yang unik tanpa mengira jenis kereta yang bakal dihasilkan nanti. MX boleh jadi kereta sport, sedan ataupun crossover

MX-04

Sebagai contoh, MX5 generasi pertama dihasilkan ketika pasaran dunia sudah melupakan kereta sport ringkas 2 pintu tanpa bumbung dengan pacuan tayar belakang. Mazda berjaya menghasilkan sebuah kereta sport yang menawarkan keseronokan pemanduan dengan cesi tak sampai satu tan dan enjin 1600cc sahaja.

Sebelum MX-5 wujud dalam bentuk kereta sport roadster, sebuah kereta sport yang dinamakan MX-81 Aria yang menggunakan platform Mazda 323 telah dihasilkan dengan kerjasama antara Mazda dan pereka Itali yang terkenal iaitu Bertone.

Ia menampilkan rekaan wedges design dan menggunakan cermin yang besar bagi menyampaikan rekaan terbaru Mazda pada Tokyo Motor Show. Rekaan dalaman menggunakan stering berbentuk segi empat, lampu depan jenis pop-up, penggunaan skrin TV, dan kusyen depan yang boleh berputar. Mungkin anda boleh tengok rekaan luar model ini pada Mazda Astina.

Model MX seterusnya muncul pada tahun 1983 yang dinamakan MX-02 kereta konsep namun menampilkan kereta hatchback 5 pintu dengan cermin yang besar dan ruang tayar belakang yang tertutup bagi meningkatkan kesan aerodinamik.

Model konsep ini juga menggunakan roda belakang boleh dikawal dengan stering dan juga head up display. Pada tahun 1985, Mazda memperkenalkan model konsep MX-03 yang merupakan sebuah kereta sport yang menggunakan rekaan 3 rotor berkuasa 315 kuasa kuda.

MX-04 pula merupakan model konsep yang dipamerkan pada Tokyo Motor Show 1987 menampilkan rekaan yang berbeza daripada MX-30. Ia menampilkan rekaan kereta sport enjin depan, pacuan roda belakang dengan idea bumbung dan cermin depan boleh dibuka sepenuhnya. Model ini menjadi asas penghasilan model Mazda MX5 Miata

Pada tahun 2002 Mazda memperkenalkan pula kereta konsep Mazda MX-Sport Runabout yang diasaskan dari Mazda 2 dan tahun 2003 mereka memperkenalkan model Mazda MX Sportif yang diasaskan daripada Mazda 323 bagi mencari rekaan terbaik crossover terbaru Mazda

Ini diikuti dengan model konsep MX-Crossport 2005 yang diinspirasikan dari Mazda RX-8 untuk diterapkan pada sebuah crossover. Ia menampilkan rekaan wheel arch yang berseni, lampu dengan rekaan nipis serta bahagian tengah yang nampak menyerlah. Rekaan ini menjadi asas kepada SUV CX-5 dan dan juga CX-30 yang kita kenali pada hari ini

Jadi apabila Mazda mengetengahkan model yang diberi kod MX, ia bererti model tersebut tampil dengan rekaan berani, idea yang baru daripada konvensional dan menjadi asas kepada rekaan Mazda bagi model seterusnya.

Google ads
Back to top button