Buletin

4 SEKELUARGA NEKAD BALIK KAMPUNG BERJALAN KAKI BERATUS KM DARI JAWA TENGAH KE BANDUNG

Seorang lelaki menjadi perhatian netizen kerana sanggup berjalan kaki ratusan kilometer dari Jawa Tengah ke Bandung untuk pulang ke kampung halaman, lapor laman berita Suara.com

Malah, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Dani, 39, turut membawa isteri serta dua anaknya yang masih kecil, masing-masing berusia tiga tahun dan setahun setengah.

Dia terpaksa mengambil keputusan untuk berjalan kaki kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menaiki kenderaan. Tambahan pula, pengangkutan awam tidak beroperasi susulan perintah larangan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia.

“Saya bertolak dari Gombong pada 2 Mei lepas dengan hanya membawa beg dan wang berjumlah 120,000 rupiah (RM34.50).

“Meskipun hanya membawa wang yang sedikit, saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan, ada sahaja manusia berhati mulia yang memberi makanan kepada anak-anak saya serta menghulurkan wang,” ujarnya.

Dani nekad untuk pulang ke kampung kerana sudah kehilangan pekerjaan lamanya di Gombong. Dia juga dikatakan bakal  terus menetap di kampung selepas ini. 

Setiap hari, Dani sekeluarga berjalan kaki sejauh 25 hingga 30 kilometer, sebelum berehat di surau atau masjid pada waktu malam. Dia juga akan mengelak daripada terjumpa dengan anggota polis kerana enggan dikatakan sekadar mahu mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Jika tiada halangan di sepanjang perjalanan, Dani sekeluarga dijangka tiba di Bandung pada hari kedua Aidilfitri. –KOnline! 

Google ads
Back to top button