Buletin

SEKSYEN 8 LEBUHRAYA PANTAI BARAT (WCE) DIBUKA HARI INI

Seksyen 8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang baru – antara Hutan Melintang dan Teluk Intan – akan dibuka kepada awam mulai jam 6 petang ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata laluan sepanjang 19.1km itu adalah bahagian pertama WCE yang akan dibuka kepada pengguna jalan raya, untuk kegunaan Hari Raya Aidilfitri.

Laluan ini tidak dikenakan sebarang bayaran tol sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan oleh kerajaan setelah menetapkan polisi dan harga.

“Pengguna jalan dinasihatkan mematuhi semua sistem pengurusan kawalan lalulintas dan papan tanda sepanjang lebuhraya untuk memastikan perjalanan yang selamat dan lancar,” kata Mohd Anuar.

Mohd Anuar berkata dua pakej lain – Lekir ke Changkat Chermin atau Seksyen 9; dan Changkat Chermin ke Beruas atau Bahagian 10 – akan dibuka pada bulan Ogos nanti.

“Pembukaan Seksyen 8, yang mempunyai dua lorong, akan menjadi jalan pintas bagi laluan antara Sabak Bernam, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan.

“Dengan laluan baru ini, pemandu boleh mengurangkan masa perjalanan mereka hingga 11 minit berbanding ketika mereka menggunakan FT 005 (Jalan Persekutuan dari Sabak Bernam ke Teluk Intan),” katanya sambil menambah bahawa Seksyen 9 dan 10 kini 95 peratus lengkap .

Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Teluk Intan juga sedang dalam pembinaan. Sehingga siap nanti, Mohd Anuar berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan kemudahan seperti surau dan bilik air di plaza tol Hutan Melintang dan Teluk Intan.

Beliau berkata, apabila semua bahagian WCE siap menjelang akhir tahun 2020, aliran trafik akan jadi lebih lancar, kerana lebuh raya baru ini akan menjadi laluan alternatif bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Lembah Klang menuju ke utara, terutamanya ketika musim perayaan.

Jarak keseluruhan WCE ialah sepanjang 223km yang bermula dari Jalan Banting-KLIA (B18) ke persimpangan Tanjong Karang (93.8km) di Selangor; dan dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Tol Plaza Changkat Jering (139.2km) di Perak.

Tiga pakej di Perak meliputi Hutan Melintang ke Teluk Intan (19.1km); Lekir ke Changkat Chermin (28km); dan Changkat Chermin ke Beruas (16.6km).

Google ads
Back to top button