
JAC T9 PHEV RASMI DILANCARKAN – JARAK GERAK 1,000KM, HARGA DARI RM154K
JAC secara rasmi melancarkan T9 PHEV, sekali gus menjadikannya trak pikap hibrid plug-in (PHEV) pertama yang dipasarkan di Malaysia.
Model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China itu melengkapkan keluarga T9 yang sebelum ini ditawarkan dalam pilihan enjin diesel dan elektrik sepenuhnya (EV).
Selain varian standard, JAC turut menyediakan varian Adventure yang tampil lebih lasak menerusi penggunaan tayar Toyo Open Country R/T bersama rim aloi berwarna hitam.

Menariknya, T9 PHEV juga bakal menjadi pikap PHEV pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kemudahan FT Assembly di Kulim, Kedah.
Dari aspek mekanikal, sistem hibridnya dipadankan dengan transmisi khusus hibrid empat kelajuan (DHT) bagi menguruskan penghantaran kuasa daripada enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik.
Bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 31.2kWh yang dibekalkan Gotion High-Tech pula membolehkan pikap ini bergerak sejauh 100km menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya.
Sementara itu, jarak perjalanan gabungan mampu mencapai sehingga 1,000 km berdasarkan kitaran ujian NEDC.
Bagi pengecasan, bateri boleh dicas daripada 15 hingga 80 peratus dalam tempoh 30 minit menggunakan pengecas pantas DC, manakala pengecasan AC daripada 15 hingga 100 peratus mengambil masa antara 3.5 hingga 5.5 jam.

T9 PHEV turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkapasiti 15kW yang membolehkan pengguna membekalkan tenaga kepada peralatan elektrik luaran.
Dari segi dimensi, pikap ini berukuran 5,330mm panjang, 1,965mm lebar dan 1,920mm tinggi dengan jarak roda 3,110mm.
Ruang kargonya menawarkan kapasiti 1.14 meter padu, manakala keupayaan menunda mencecah 3.5 tan dengan kapasiti muatan sehingga 915kg.
Bagi kegunaan lasak, T9 PHEV menggunakan suspensi double wishbone di hadapan dan gandar pejal dengan sistem multi-link serta gegelung spring di belakang.
Ia turut menerima kunci pembezaan elektronik pada gandar hadapan dan belakang, selain pilihan mod pemanduan Eco, Standard dan Sport.

Untuk merentasi pelbagai permukaan, pengguna boleh memilih mod Snow, Mud, Sand, Rock dan Off-Road Cruise mengikut keadaan laluan.
Dari sudut penampilan, T9 PHEV menampilkan lencana JAC berwarna biru pada gril hadapan, rim aloi 18-inci dengan tayar bersaiz 265/60, rel bumbung, bumbung suria dan palang sukan di belakang kabin.
Bahagian dalaman pula dilengkapi skrin infotainmen menegak 10.4-inci, panel instrumen digital 10.25-inci serta stereng empat jejari dengan tombol pemilih gear jenis putar.
Antara ciri keselesaan lain termasuk tempat duduk kulit, pencahayaan ambien 64 warna, pengecas telefon tanpa wayar 50W, kamera 360 darjah dengan paparan lutsinar serta sistem pendingin hawa automatik.
Bagi keselamatan, JAC menyediakan tujuh beg udara termasuk beg udara tengah hadapan, selain sistem bantuan pemanduan termaju Tahap 2 (ADAS).

Teknologi tersebut merangkumi brek kecemasan automatik (AEB) hadapan dan belakang, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan pemusatan lorong serta amaran trafik lintasan belakang.
Model ini juga menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP).
SPESIFIKASI ENJIN DAN PRESTASI
- Enjin: 2.0 liter turbo petrol
- Kuasa enjin: 211PS
- Tork enjin: 370Nm
- Motor elektrik hadapan: 177PS / 300Nm
- Motor elektrik belakang: 204PS / 340Nm
- Kuasa keseluruhan: 489PS
- Tork keseluruhan: 1,000Nm
PILIHAN WARNA
- Putih
- Hitam
- Biru
- Kelabu gelap
- Perak
HARGA JUALAN
- JAC T9 PHEV: RM154,888
- JAC T9 PHEV Adventure: RM162,888
JAC menawarkan jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 km, manakala bateri voltan tinggi dilindungi selama lapan tahun atau 150,000 km, mengikut mana-mana yang tiba dahulu.
GALERI:






















