
SHELL RAIKAN PEMENANG KEMPEN WATER2GO, HADIAH TUNAI HINGGA RM135,000
Shell Malaysia meraikan para pemenang kempen ‘Shell Select Ganjaran water2go Berjuta’, sekali gus meneruskan sambutan ulang tahun ke-135 syarikat itu menerusi inisiatif yang menawarkan ganjaran kepada pelanggan dalam urusan harian mereka.
Kempen yang dilancarkan di bawah platform ‘Made for More’ itu memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah wang tunai hanya dengan membeli sebotol air mineral water2go di Shell Select.
Melalui mekanisme “buka dan menang”, setiap pembelian membolehkan pelanggan berpeluang memperoleh pelbagai hadiah.
Sepanjang tempoh kempen, Shell menawarkan hadiah utama bulanan bernilai RM135,000, selain hadiah bulanan RM13,500 kepada 12 pemenang, hadiah mingguan RM1,350 kepada 50 pemenang serta ganjaran RM135 kepada 200 pemenang setiap minggu.

Kempen itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, dengan ramai pemenang berkongsi kisah bagaimana pembelian biasa bertukar menjadi rezeki yang tidak disangka-sangka.
Pemenang pertama hadiah utama RM135,000, Saiful Adli, 46, dari Kuantan berkata, penyertaannya bermula ketika singgah bersama keluarga di sebuah stesen Shell di Temerloh.
Menurutnya, dia yang sememangnya pelanggan setia Shell hanya mencuba nasib selepas digalakkan oleh anak-anaknya.
“Pada mulanya kami tidak menjangka apa-apa. Malah saya sempat menyangka peluang sudah terlepas apabila penutup botol hilang. Apabila dimaklumkan saya masih menang, saya benar-benar terkejut.
“Hadiah ini sangat bermakna kerana dapat membantu membiayai pengajian anak sulung yang bakal memasuki matrikulasi dan bercita-cita menjadi peguam,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemenang, Azib Srahman, 19, dari Selangor, berkata dia membeli air mineral tersebut ketika berehat daripada menghantar makanan sebagai penunggang e-hailing.
Pelajar itu mengakui pada mulanya menyangka panggilan yang diterimanya adalah penipuan sebelum membuat semakan di laman web rasmi kempen.
Katanya, wang kemenangan itu akan digunakan untuk membantu menampung perbelanjaan pengajian serta membeli telefon baharu bagi memudahkan urusan kerja sambilan.
Hadiah utama kedua RM135,000 pula dimenangi Tan Li Wei, 38, seorang pentadbir pejabat dari Pulau Pinang.
Beliau berkata, keputusan menyertai pertandingan dibuat secara spontan ketika berhenti di Shell untuk membeli minuman buat anaknya.
Menurutnya, hadiah tersebut akan digunakan untuk membawa keluarganya bercuti ke Langkawi, selain menyumbangkan sebahagian wang kemenangan kepada rumah kebajikan dan pertubuhan amal di Pulau Pinang.
Pengurus Besar Shell Mobility & Convenience Malaysia, Seow Lee Ming, berkata kempen berkenaan mencerminkan usaha berterusan Shell dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan menerusi pengalaman harian yang lebih bermakna.
“water2go merupakan antara produk yang sering dibeli pelanggan setiap hari. Kami mahu menunjukkan bahawa rutin yang sederhana juga mampu membawa ganjaran yang besar.
“Sambutan yang diterima daripada pelanggan di seluruh negara membuktikan usaha ini berjaya menghubungkan Shell dengan keperluan pengguna sambil terus menawarkan pengalaman yang lebih bernilai,” katanya.
Menurut Shell, kempen itu adalah sebahagian daripada inisiatif sempena ulang tahun ke-135 syarikat tersebut di Malaysia, selain memperkukuh komitmennya untuk terus menawarkan kemudahan, nilai serta ganjaran kepada pelanggan di seluruh rangkaian stesen Shell.

