
EU MAHU KAWAL KELAJUAN KERETA GUNA SATELIT?
Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah lebih tegas dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi penggunaan teknologi yang mampu mengehadkan kelajuan kenderaan secara automatik.
Ketika ini, semua model baharu yang dijual di negara-negara EU diwajibkan dilengkapi sistem Intelligent Speed Assist (ISA) sejak 2024.
Sistem itu menggunakan gabungan GPS dan kamera untuk mengenal pasti had laju di sesuatu kawasan sebelum memberi amaran bunyi atau visual kepada pemandu sekiranya kelajuan yang dipandu melebihi had ditetapkan.
Bagaimanapun, menurut laporan media di United Kingdom, Suruhanjaya Eropah dikatakan mahu melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan sistem yang bukan sahaja memberi amaran, malah mampu menghalang kenderaan daripada dipandu melebihi had laju ditetapkan.
Cadangan itu sebenarnya bukan perkara baharu. Sebelum ini, pengeluar automotif di Eropah dilaporkan membantah pelaksanaannya kerana bimbang menerima reaksi negatif daripada pengguna.
Hasilnya, sistem ISA yang digunakan hari ini hanya berfungsi sebagai pembantu pemanduan dan bukannya pengawal kelajuan secara automatik.
Namun, terdapat dakwaan bahawa cadangan asal itu masih menjadi sasaran jangka panjang pihak berkuasa Eropah.
Sekiranya dilaksanakan, kelajuan maksimum sesebuah kenderaan akan dikawal berdasarkan data lokasi dan had laju semasa tanpa campur tangan pemandu.
Walaupun objektif utama adalah mengurangkan kemalangan dan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, teknologi itu turut menerima kritikan kerana tahap ketepatannya masih belum memuaskan.
Satu kajian yang diterbitkan pada Jun lalu mendapati sistem ISA berasaskan GPS masih gagal mengenal pasti perubahan had laju dengan tepat dalam sebahagian situasi.
Secara purata, ketepatan berdasarkan jarak pemanduan mencecah lebih 90 peratus, namun apabila dinilai mengikut perubahan had laju di lokasi tertentu, kadar ketepatannya boleh merosot sehingga sekitar 74 peratus.
Ini bermakna kira-kira satu daripada empat perubahan had laju dipaparkan secara tidak tepat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada teknologi itu cukup boleh dipercayai jika digunakan untuk mengawal kelajuan kenderaan secara automatik.
Malah, kenderaan dengan prestasi terbaik dalam kajian tersebut masih mencatatkan kira-kira satu kesilapan bagi setiap 10 perubahan had laju, menunjukkan teknologi sedia ada masih memerlukan penambahbaikan sebelum boleh digunakan secara meluas.
Laporan sama turut mendakwa generasi baharu sistem ISA mungkin akan menggunakan rangkaian 5G serta data daripada peranti yang bersambung di sekeliling bagi meningkatkan ketepatan kedudukan dan pengesanan had laju.
Walaupun cadangan itu dilihat mampu meningkatkan keselamatan jalan raya, ia turut mencetuskan perdebatan mengenai isu privasi, pemantauan lokasi dan sejauh mana pihak berkuasa patut mempunyai kawalan terhadap cara seseorang menggunakan kenderaan mereka.
- BACA: ZXMOTO 1000RR DALAM PEMBANGUNAN – ENJIN V5 1000CC, 210HP
- BACA: CHERY FAIL PATEN PIKAP KOMPAK BAHARU, BAKAL CABAR FORD MAVERICK DI PASARAN GLOBAL
- BACA: ZEEKR MALAYSIA PERLUAS RANGKAIAN PENGEDAR, SASAR 18 CAWANGAN MENJELANG HUJUNG 2026
- BACA: MCLAREN 788HS – PENUTUP ERA 720S, 750S DAN 765LT, 788 PS, HANYA 200 UNIT







