
ZXMOTO 1000RR DALAM PEMBANGUNAN – ENJIN V5 1000CC, 210HP
ZXMoto mungkin sedang mencipta nama di pentas WorldSSP dengan jentera 820RR yang ketika ini telah pun merekodkan enam kemenangan dan menempatkan diri sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini.
Motosikal supersport bernadikan enjin tiga silinder 818.8cc itu juga akan turut dilancarkan di Malaysia pada 13 September ini bersama 500RR dan 500F.

Bagaimanapun, pengasas ZXMoto, Zhang Xue dilaporkan sedang giat membangunkan beberapa jentera serba baharu ketika ini.
Baru-baru ini, ZXMoto dikhabarkan telah pun membangunkan sebuah motosikal adventure dengan enjin boxer 1000cc. Platform boxer itu secara langsung memberi bayangan bahawa ZXMoto berniat untuk bersaing dengan model popular, BMW GS yang turut menggunakan enjin boxer.
Namun begitu, terdapat satu lagi berita lebih menarik yang timbul di China apabila ZXMoto dilaporkan sedang membangunakn jentera superbike pertama jenama itu.

Uniknya, jentera superbike tersebut bukan menggunakan enjin tiga silinder seperti 820RR atau empat silinder seperti 500RR sebaliknya, Zhang Xue membangunkan platform V5. Sebuah enjin lima silinder dengan konfigurasi V.
Enjin V5 bukanlah sesuatu yang baru kerana Honda pernah menghasilkan unit tersebut pada Honda RC211V yang diguna pakai dalam perlumbaan MotoGP dari 2002 hingga 2006. MV Agusta juga ada membangunkan enjin prototaip V5 ‘Cinque Cilindri’ dan dipamerkan di EICMA tahun lalu.

Ketika ini, ZXMoto belum mendedahkan spesifikasi terperinci unit V5 tersebut namun kami difahamkan enjin 1000cc berkenaan mampu menghasilkan lebih 210hp dan 113Nm. Berat jentera pula dikhabarkan sekitar 190kg.
Untuk rekod, enjin V5 bukan sahaja menelan kos pembangunan yang tinggi malah turut hadir dengan beberapa cabaran besar antaranya ZXMoto tidak akan dibenarkan menyertai WorldSBK ekoran kelas utama itu hanya membenarkan maksimum empat silinder dan kapasiti enjin 1000cc.







