
SINGAPURA JADI HAB PERTAMA MERCEDES-BENZ STUDIO DI ASIA TENGGARA
Mercedes-Benz terus memperkukuh pendekatan jenamanya dengan membuka Mercedes-Benz Studio Singapore di Gardens by the Bay, sekali gus menjadi Studio pertama jenama itu di Asia Tenggara.
Pembukaan ruang interaktif tersebut turut bersempena sambutan 140 tahun inovasi Mercedes-Benz dan bertujuan mendekatkan jenama itu kepada orang ramai melalui pengalaman yang melangkaui pameran kenderaan semata-mata.
Dengan pelancaran Studio di Singapura, negara itu kini menyertai rangkaian bandar global terpilih seperti Tokyo, Seoul, Sydney, Stockholm, Shanghai dan Los Angeles yang menjadi lokasi konsep Mercedes-Benz Studio.
Setiap Studio direka mengikut identiti bandar masing-masing, menggabungkan elemen budaya, gaya hidup serta kreativiti tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Singapore, Marcel Luis Mustelier Perez berkata, Singapura dipilih kerana reputasinya sebagai sebuah bandar yang dinamik, kreatif dan sentiasa meneroka inovasi baharu.

Menurutnya, lokasi di Gardens by the Bay memberi peluang kepada Mercedes-Benz untuk mendekati masyarakat dalam suasana lebih santai sambil memperlihatkan hala tuju masa depan segmen mewah.
Mercedes-Benz Studio Singapore dibangunkan berasaskan tiga zon utama yang saling melengkapi.
Ruang pertama dikenali sebagai Canvas, iaitu platform yang menggabungkan dunia automotif dengan seni dan reka bentuk menerusi pemasangan kreatif serta kerjasama bersama artis tempatan dan serantau.
Commune pula berfungsi sebagai kafe dan hab sosial yang mengetengahkan inovasi terkini Mercedes-Benz, pelancaran produk baharu serta pelbagai kolaborasi gaya hidup dan kulinari.
Sementara itu, Courtyard diwujudkan sebagai ruang komuniti yang menampilkan aktiviti interaktif, pemasangan imersif dan program yang menggalakkan pertemuan pelbagai kelompok masyarakat.

Gabungan ketiga-tiga ruang ini mencerminkan janji jenama Mercedes-Benz iaitu “Welcome Home”, dengan penekanan kepada hubungan sosial, penemuan pengalaman baharu dan suasana yang mesra pengunjung.
Ketua Customer Excitement Mercedes-Benz Singapore, Darren Ng berkata, Studio itu direka bagi memberikan pengalaman yang sentiasa berubah dan berkembang melalui kerjasama baharu mengikut musim.
Bagi program pembukaan, ruang Canvas menampilkan karya seni digital khas bertajuk “Liquid Studios Singapore” hasil ciptaan Metamo Industries dari Singapura.
Di Commune, suasana santai dilengkapi perabot daripada rakan kolaborasi tempatan serta program makanan dan minuman yang berubah mengikut musim.
Penghuni pertama ruang itu ialah Ferm yang memperkenalkan pendekatan moden terhadap seni penapaian tradisional.
Sementara itu, Courtyard akan menjadi lokasi pelbagai aktiviti komuniti termasuk acara larian bersama adidas Run Club, aktiviti berbasikal bersama Rapha, program kesejahteraan oleh TUNDRA serta bengkel kreatif dan sesi cetakan skrin secara langsung.
Mercedes-Benz Studio Singapore mula menerima pengunjung pada 2 September 2026. Kemasukan adalah percuma dan tidak memerlukan sebarang tempahan awal, manakala sesetengah program khas memerlukan pendaftaran atau tiket berasingan.
Studio tersebut dibuka pada hari Rabu dan Khamis dari jam 4 petang hingga 10 malam, manakala pada hari Jumaat hingga Ahad dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

