Buletin

BERMAZ AUTO CATAT KEUNTUNGAN RM40.5 JUTA, MAZDA PACU PRESTASI

Bermaz Auto Bhd mencatatkan peningkatan ketara dalam prestasi kewangannya bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) berakhir 31 Julai 2026, didorong oleh permintaan kukuh terhadap kenderaan Mazda di pasaran tempatan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengedar automotif itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM40.51 juta berbanding RM8.28 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Hasil pula meningkat kepada RM553.08 juta berbanding RM491.28 juta sebelum ini.

Pendapatan sesaham turut bertambah kepada 3.57 sen daripada 0.71 sen yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya.

Menurut syarikat itu, pertumbuhan hasil disumbangkan terutamanya oleh peningkatan jumlah jualan Mazda, khususnya model Mazda3 yang terus menerima sambutan memberangsangkan daripada pengguna.

Bagaimanapun, prestasi tersebut sebahagiannya diimbangi oleh penyusutan jualan operasi Kia di Malaysia selepas penamatan hak pengedaran jenama itu pada November 2025.

Selain peningkatan jualan, keuntungan kumpulan turut disokong oleh prestasi lebih baik syarikat-syarikat bersekutu yang berjaya mencatat bahagian keuntungan bersih berbanding kerugian yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Mengulas prospek industri, Bermaz Auto berkata kemasukan berterusan jenama automotif dari China dengan strategi harga yang agresif telah mewujudkan lebihan stok dalam pasaran.

Keadaan itu menyebabkan persaingan harga yang semakin sengit, termasuk pemberian diskaun berterusan oleh pemain industri bagi menarik pembeli.

Syarikat itu turut menjangkakan perubahan dasar kerajaan akan memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhan serta landskap industri automotif negara.

Walaupun berdepan cabaran pasaran yang semakin kompetitif, lembaga pengarah kekal optimis bahawa kumpulan mampu mengekalkan kedudukan serta tahap keuntungan yang mampan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027.

Pada masa sama, Bermaz Auto mengumumkan dividen interim pertama sebanyak dua sen sesaham. Tarikh kelayakan ditetapkan pada 20 Oktober 2026 manakala pembayaran akan dibuat pada 4 November 2026. – The Star

Google ads
Back to top button