Buletin

VOLVO EX30 CROSS COUNTRY DILANCAR, HARGA RM 218K

Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan Volvo EX30 Cross Country, varian pertama dalam keluarga Cross Country Volvo yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Model ini ditawarkan sebagai sebuah SUV elektrik kompak yang menggabungkan keupayaan penggunaan harian di bandar dengan ciri lebih lasak untuk perjalanan ke kawasan berbatu, laluan tidak berturap dan aktiviti luar.

Volvo EX30 Cross Country dipasang secara tempatan dan ditawarkan pada harga bermula RM218,888 tidak termasuk insurans. Model ini menggunakan sistem pacuan semua roda dwi-motor yang menghasilkan kuasa 428 hp dan tork maksimum 543 Nm. Pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 3.7 saat, menjadikannya antara SUV elektrik kompak yang cukup pantas dalam kelasnya.

Dari segi keupayaan perjalanan, EX30 Cross Country menawarkan jarak gerak sehingga 437 km mengikut kitaran WLTP dengan bateri NMC berkapasiti 69 kWh. Pengecasan pantas DC sehingga 175 kW pula membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 27 minit, bergantung kepada keadaan bateri, suhu, peralatan pengecasan dan faktor lain.

Berbanding EX30 biasa, varian Cross Country menerima beberapa perubahan pada casis bagi meningkatkan keupayaan ketika dipandu di permukaan yang lebih mencabar. Jarak kelegaan tanahnya dinaikkan sebanyak 19 mm, manakala sistem suspensi dan roda 19 inci lima jejari direka untuk membantu menyerap gangguan permukaan jalan serta memberikan kestabilan dan keselesaan lebih baik.

Sistem stereng turut ditala dengan perisian khusus bagi memberikan tindak balas stereng yang lebih terkawal ketika mengambil selekoh. Dari aspek keselamatan, EX30 Cross Country dilengkapi sistem Volvo Safe Space Technology bersama pelbagai sistem bantuan pemanduan.

Ia termasuk sokongan brek dan stereng bagi mengelakkan pelanggaran, sistem Driver Understanding, serta generasi terkini Pilot Assist dan Park Pilot Assist. Sistem penderia dan radar di sekeliling kenderaan turut membantu memberikan kesedaran 360 darjah terhadap persekitaran.

Rekaan luaran pula diberikan elemen khusus Cross Country seperti kemasan hitam matte, aksen Vapour Grey, skid plate berkemasan low-gloss, bampar bawah hitam matte dan sambungan pada arka roda. Nama Cross Country pada tiang C serta logo CC di bahagian belakang turut membezakan model ini daripada EX30 standard.

Di dalam kabin, Volvo menampilkan tema warna yang diinspirasikan daripada warna biru gelap langit malam, dengan kemasan tekstil berwarna charcoal, upholsteri Nordico, panel hiasan denim dan panel corong pendingin hawa berwarna biru. Bumbung panoramik turut menjadi sebahagian daripada kelengkapan model ini.

Sistem infotainmen menggunakan skrin tengah 12.3 inci dengan perkhidmatan Google terbina dalam seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store. Sistem bunyi Harman Kardon Premium turut disediakan bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Dari segi praktikaliti, EX30 Cross Country mengekalkan konsep ruang penyimpanan pintar seperti EX30 standard. Ruang bagasi menawarkan kapasiti 318 liter dengan semua tempat duduk digunakan dan meningkat kepada 718 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Volvo turut menawarkan pelbagai aksesori pilihan termasuk pelindung lumpur, pembawa muatan, rak basikal dan bakul bumbung.

Untuk pelancaran, 100 tempahan terawal akan menerima pakej istimewa yang merangkumi rebat tunai RM12,000, sebuah Volvo Wallbox bernilai RM3,990, Load Carrier bernilai RM2,098 dan Roof Basket bernilai RM3,680.

Volvo EX30 Cross Country boleh dilihat di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara bermula hari ini dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.

Google ads
Back to top button