Buletin

MERCEDES-BENZ CENTER DI SINGAPURA TAMPIL WAJAH BAHARU, TAWAR PENGALAMAN LEBIH EKSKLUSIF

Mercedes-Benz Singapore bersama pengedar sahnya, Cycle & Carriage Industries, memperkenalkan wajah baharu Mercedes-Benz Center di Alexandra Road yang direka semula bagi menawarkan pengalaman lebih eksklusif dan mesra pelanggan.

Pusat pameran yang dinaik taraf itu mula dibuka kepada orang ramai pada 27 Januari 2024.

Transformasi tersebut selari dengan perubahan landskap peruncitan automotif moden, dengan tumpuan diberikan kepada pengalaman pelanggan yang lebih peribadi, lancar dan menyeluruh.

Selain berfungsi sebagai pusat jualan dan servis, kemudahan itu kini turut diposisikan sebagai destinasi gaya hidup yang menggabungkan elemen hospitaliti, teknologi digital dan ruang interaktif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Singapore, Claudius Steinhoff, berkata konsep baharu itu meletakkan pelanggan sebagai fokus utama dalam setiap aspek pengalaman jenama berkenaan.

Menurutnya, kerjasama erat bersama Cycle & Carriage Industries berjaya menghasilkan ruang yang lebih moden dengan pelbagai titik sentuhan baharu bagi meningkatkan interaksi pelanggan dengan jenama Mercedes-Benz.

Sementara itu, Pengarah Urusan Direct Motor Interests Jardine Cycle & Carriage Limited, Wilfrid Foo, berkata transformasi pusat tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam menawarkan pengalaman premium kepada pelanggan yang telah menjadi teras operasinya sejak lebih satu abad lalu.

Katanya, ruang baharu itu menampilkan reka bentuk dalaman yang lebih mewah, penggunaan teknologi digital secara meluas serta kawasan pameran dinamik, sekaligus menyerlahkan model-model Mercedes-Benz.

Antara pembaharuan utama diperkenalkan termasuk ruang hospitaliti yang lebih luas dan selesa, kawasan kafe telah dipertingkatkan, sistem pengurusan pelanggan lebih efisien serta bilik konsultasi yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan tahap privasi pelanggan.

Teknologi digital turut memainkan peranan penting dalam pengalaman baharu itu. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat produk dan khidmat nasihat di mana-mana lokasi dalam pusat pameran melalui penggunaan tablet interaktif.

Konsep “phygital” turut diperkenalkan bagi menggabungkan pengalaman fizikal dan digital dalam proses pemilihan serta penyesuaian kenderaan.

Selain itu, enam ruang penyerahan kenderaan khas turut disediakan bagi memberikan pengalaman penerimaan kenderaan yang lebih eksklusif dan emosional.

Bersempena pembukaan semula Mercedes-Benz Center, Mercedes-Benz Singapore turut memperkenalkan generasi baharu E-Class.

Sedan eksekutif itu hadir dengan pelbagai teknologi terkini, tahap keselesaan lebih tinggi serta ciri digital pintar yang menjadikannya antara model paling canggih dalam segmennya.

Tiga varian dipamerkan kepada pengunjung iaitu E 200 Avantgarde, E 200 Exclusive dan E 200 AMG Line.

Orang ramai yang mengunjungi pusat tersebut sepanjang tempoh rumah terbuka berpeluang melihat pelbagai instalasi seni multimedia, koleksi kereta klasik Mercedes-Benz serta pameran sejarah perkembangan jenama itu di Singapura sejak tahun 1980-an.

Ruang baharu itu juga menampilkan kerjasama dengan beberapa jenama gaya hidup terpilih bagi mewujudkan pengalaman yang lebih menarik dan berbeza kepada para pengunjung.

Google ads
Back to top button