
FERRARI PERKENAL 296 GT MODIFICATA, 730PS & 800NM TORK
Ferrari memperkenalkan 296 GT Modificata, jentera yang dibangunkan khusus untuk kegunaan di litar dengan jumlah pengeluaran yang sangat terhad. Model ini berasaskan 296 GT3 Evo, namun Ferrari membuang sebahagian besar kekangan yang dikenakan terhadap kereta lumba GT3 bagi menghasilkan sebuah jentera yang boleh mengejar prestasi maksimum tanpa perlu mematuhi peraturan perlumbaan.
296 GT Modificata diperkenalkan secara digital ketika acara Ferrari Racing Days di Budapest, Hungary. Ia merupakan model yang hanya boleh digunakan di litar dan ditawarkan kepada pelanggan yang menyertai program Club Competizioni GT Ferrari. Berbanding 296 GT3 Evo yang dibina untuk perlumbaan kompetitif, Modificata direka untuk acara litar bukan kompetitif.
Perbezaan paling ketara terletak pada bahagian kuasa. Ferrari menggunakan enjin V6 turbo berkembar berkapasiti 2,992 cc dengan susunan 120 darjah yang dipasang secara MR. Enjin ini menghasilkan 730 PS pada 7,500 rpm dengan tork maksimum 800 Nm pada 5,000 rpm. Angka tersebut adalah 130 PS lebih tinggi berbanding 296 GT3 Evo yang perlu mematuhi peraturan Balance of Performance (BoP).

Untuk mencapai angka tersebut, Ferrari melakukan pelbagai perubahan pada enjin termasuk sistem cranktrain, aci sesondol, sistem kemasukan udara, intercooler dan pengecas turbo. Turbo masih mengekalkan reka bentuk luaran yang sama seperti 296 GT3 Evo, tetapi komponen dalaman telah diubah khusus untuk Modificata berdasarkan pengalaman Ferrari membangunkan 499P Modificata.
RPM enjin dinaikkan sebanyak 500 rpm kepada 8,500 rpm. Kuasa spesifiknya mencapai 244 PS bagi setiap liter, menjadikan enjin kecil V6 ini antara komponen paling ekstrem dalam sebuah kereta litar Ferrari. Kuasa dihantar ke roda melalui transmisi sequential enam kelajuan dengan klac karbon dan nisbah gear yang telah ditala semula untuk kegunaan litar.
Ferrari turut memberikan perhatian besar terhadap aspek aerodinamik. Di bahagian hadapan, 296 GT Modificata menerima bonet baharu serta elemen bernama Slotted Splitter yang direka untuk mengoptimumkan aliran udara di bawah kereta. Sistem penyejukan juga dipertingkatkan bagi menguruskan haba yang terhasil daripada enjin dan komponen berprestasi tinggi.

Di bahagian belakang pula, Ferrari memasang sayap baharu dengan satu tiang tengah, endplate yang berfungsi sebagai struktur dan Gurney Flap yang lebih besar. Reka bentuk endplate tersebut mengambil inspirasi daripada Ferrari 499P, sekali gus memberikan 296 GT Modificata penampilan yang jauh lebih agresif berbanding 296 GT3 Evo.
Kesemua peningkatan ini bukan sekadar untuk penampilan kerana 296 GT Modificata mampu mencatat masa sekitar tiga saat lebih pantas di litar ujian Fiorano berbanding 296 GT3 Evo. Ia merupakan pencapaian yang agak luar biasa kerana Modificata pada asasnya dibangunkan daripada sebuah kereta lumba GT3, tetapi tidak perlu mematuhi sekatan teknikal dan BoP yang dikenakan dalam perlumbaan.
Sistem brek turut dinaik taraf bagi menampung peningkatan prestasi. Cakera brek hadapan berukuran 400 mm dengan sistem pengudaraan yang lebih baik, manakala cakera belakang berukuran 332 mm. Saluran penyejukan dan kemasukan udara tambahan turut digunakan untuk memastikan sistem brek mampu bertahan ketika sesi pemanduan litar yang panjang. ABS kekal sebagai sebahagian daripada sistem kereta tersebut.

Ferrari 296 GT Modificata masih mempunyai dua tempat duduk dan Ferrari mengubah struktur roll-bar bagi membolehkan sebuah tempat duduk penumpang dipasang di sebelah pemandu. Tempat duduk kedua ini bukan sekadar untuk membawa tetamu, tetapi turut membolehkan seorang jurulatih profesional duduk bersama pemandu ketika sesi latihan. Sistem interkom disediakan supaya jurulatih boleh memberikan arahan secara langsung kepada pemandu ketika berada di litar.
Kereta ini juga hadir dengan pelbagai sistem elektronik dan peralatan pemantauan yang biasanya ditawarkan sebagai pilihan pada 296 GT3 Evo. Antaranya termasuk sistem pemerolehan data, VideoBox Premium, kamera belakang, sistem pemantauan tekanan dan suhu tayar serta sistem tambahan untuk penyejukan kabin. Radar belakang dan pilihan kemasan badan daripada Ferrari Design Studio pula boleh ditambah sebagai pilihan.
Dari segi berat, 296 GT Modificata mempunyai berat kering sekitar 1,330 kg. Dengan kuasa 730 PS, nisbah berat kepada kuasanya berada pada tahap kira-kira 1.82 kg bagi setiap PS. Kelajuan maksimumnya pula melebihi 300 km/j.

Pemilik 296 GT Modificata turut menerima keahlian Club Competizioni GT selama dua tahun atau 12 pusingan. Program tersebut membolehkan pemilik membawa kereta mereka ke beberapa litar terkenal di seluruh dunia dalam acara litar bukan kompetitif. Untuk musim 2027, kalendar program itu merangkumi Jerez, Misano, Fuji, Indianapolis, Paul Ricard dan Spa-Francorchamps sebelum acara Finali Mondiali Ferrari.

