
VOLVO XC90 T8 2028 TAWAR SEHINGGA 901KM JARAK GERAK, DIPADANKAN DENGAN BATERI LEBIH BESAR
Volvo memperkenalkan versi terkini SUV hibrid plug-in tujuh tempat duduknya, XC90 T8, bagi tahun model 2028 dengan peningkatan ketara pada sistem elektrifikasi.
Walaupun reka bentuk luaran dan dalaman kekal hampir sama seperti model facelift diperkenalkan sebelum ini, perubahan terbesar tertumpu pada kapasiti bateri, di mana kini lebih besar serta jarak pemanduan elektrik yang jauh lebih panjang.
Model baharu itu dilengkapi pek bateri lithium-ion berkapasiti 41.2kWh (37.9kWh boleh digunakan), lebih dua kali ganda berbanding bateri 18.8kWh pada model terdahulu.
Hasilnya, XC90 T8 kini mampu bergerak sehingga 73 batu (kira-kira 117 kilometer) menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dalam sekali cas, meningkat sekitar 40 batu berbanding generasi sebelumnya.

Dari segi prestasi, rangkaian kuasa hibrid plug-in tersebut masih menggabungkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo bersama motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang. Gabungan kedua-duanya menghasilkan 455 kuasa kuda dan 523 lb-ft tork.
Walaupun angka kuasa tidak berubah, Volvo melakukan penalaan semula sistem penghantaran kuasa yang membolehkan pecutan lebih pantas. XC90 T8 kini mencatat masa 0 hingga 96km/j dalam 4.9 saat, sedikit lebih baik berbanding lima saat sebelum ini.
Dengan bateri dan tangki bahan api yang penuh, SUV mewah itu dikatakan mampu mencapai jarak keseluruhan sehingga 560 batu (sekitar 901 kilometer), menjadikannya antara model hibrid plug-in dengan jarak perjalanan paling jauh dalam pasaran Amerika Syarikat ketika ini.

Bagi proses pengecasan, Volvo menyatakan bateri baharu itu boleh dicas sepenuhnya dalam tempoh sekitar 5.7 jam menggunakan pengecas AC Tahap 2.
Peningkatan jarak pemanduan elektrik yang signifikan ini dilihat selari dengan trend pengguna yang semakin cenderung kepada kenderaan hibrid plug-in sebagai alternatif antara enjin pembakaran dalaman dan kenderaan elektrik sepenuhnya.
Dengan keupayaan bergerak lebih 100 kilometer tanpa menggunakan petrol, XC90 T8 baharu menawarkan fleksibiliti yang lebih tinggi untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.
Walaupun perubahan bagi model tahun 2028 tidak begitu ketara dari segi penampilan, peningkatan teknologi bateri dan kecekapan sistem hibrid menjadikan Volvo XC90 T8 antara SUV plug-in hybrid paling menarik dalam segmennya.


