Buletin

SISTEM BREK KECEMASAN AUTOMATIK KINI LEBIH BAGUS BERBANDING DAHULU – KAJIAN

Teknologi keselamatan moden terus menunjukkan perkembangan pesat, termasuk sistem brek kecemasan automatik (AEB) yang semakin mantap.

Ini adalah kesimpulan daripada kajian terbaru oleh American Automobile Association (AAA), yang mendapati bahawa kenderaan baharu kini dua kali lebih berkemungkinan mengelakkan perlanggaran depan berbanding enam tahun lalu.

Malah, AAA melaporkan kejayaan 100 peratus dalam mengelakkan pelanggaran pada kelajuan di bawah 35mph (56 km/j).

Kajian AAA ini merangkumi enam model kenderaan — tiga model keluaran 2024 (Nissan Rogue, Jeep Grand Cherokee, dan Subaru Outback) yang diuji bersama model keluaran terdahulu dari 2018 (2017 bagi Jeep).

Setiap kenderaan diperiksa rapi untuk memastikan sistem AEB berfungsi sepenuhnya. Kenderaan lama diservis dengan tayar, brek serta pelarasan empat roda baharu, dan telah dipandu sejauh 500 batu bagi memastikan alat ganti baharu serasi digunakan. Kemas kini perisian juga dilakukan di mana perlu.

Dalam ujian ini, sasaran yang digunakan adalah replika kenderaan bersaiz penuh berbentuk hatchback yang diperbuat daripada bahan buih dan vinil, menyerupai Ford Focus.

Ujian dijalankan pada kelajuan 12 mph (19 km/j), 25 mph (40 km/j), dan 35 mph (56 km/j). Ujian ini hanya melibatkan perlanggaran depan dan tidak merangkumi ujian terhadap pejalan kaki.

Bagi model terdahulu, hanya Subaru Outback lama berjaya berhenti pada setiap kelajuan ujian, manakala Nissan dan Jeep Grand Cherokee gagal berhenti pada kelajuan yang lebih tinggi.

Sebaliknya, model-model baharu keluaran 2024 berjaya berhenti tanpa sebarang pelanggaran pada semua kelajuan ujian. AAA turut melaporkan bahawa sistem AEB kini mengaktifkan brek lebih awal, meningkatkan kebarangkalian mengelakkan pelanggaran.

Namun, sistem AEB ini masih mempunyai hadnya. Pada kelajuan melebihi 35 mph, keberkesanannya menurun.

Dalam ujian berasingan pada kelajuan 45 mph (72 km/j), tiga daripada empat kenderaan berjaya mengelak pelanggaran. Namun, tiada kenderaan yang mampu mengelak pelanggaran pada 55 mph (88 km/j).

“Sejak kami mula menguji sistem AEB pada 2014, kemajuan yang dicapai oleh pembuat kenderaan sangat menggalakkan dan menunjukkan potensi besar dalam meningkatkan keselamatan pemandu,” kata pengarah penyelidikan kejuruteraan automotif AAA, Greg Brannon.

“Namun, masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan sistem ini pada kelajuan lebih tinggi.”

Perkembangan ini memberi harapan bahawa sistem AEB akan terus maju dan memainkan peranan besar dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya, walaupun peningkatan masih diperlukan untuk mencapai prestasi lebih baik pada kelajuan tinggi.

Google ads
Back to top button