
MG URBAN 2026 TIBA DI PASARAN THAILAND: TIGA VARIAN, JANA 160HP, JARAK GERAK 530KM
MG nampaknya serius mahu menggugat pasaran EV kompak apabila NEW MG URBAN 2026 bakal dilancarkan secara rasmi di Thailand tidak lama lagi.
Lebih menarik, versi pasaran Thailand ini bukan sekadar “copy-paste” model Eropah, tetapi menerima pelbagai penyesuaian khas yang lebih sesuai untuk cuaca dan gaya penggunaan di rantau Asia Tenggara.
Antara perkara paling mencuri perhatian ialah kabin yang jauh lebih mewah berbanding spesifikasi UK.
Varian tertinggi hadir dengan skrin infotainmen gergasi sehingga 15.6-inci, kerusi ventilasi siap boleh dihidupkan menggunakan telefon pintar, serta ambient lighting 256 warna — sesuatu yang jarang ditawarkan dalam segmen hatchback EV kompak.

MG turut menggunakan platform elektrik SAIC E3 dengan teknologi Cell-to-Body (CTB), di mana bateri disepadukan terus ke struktur casis.
Selain membantu kestabilan pemanduan, rekaan ini juga memberi ruang kabin lebih luas. Malah, ruang kaki penumpang belakang mencecah 984 mm, antara yang terbesar dalam kelasnya.
Menariknya lagi, MG menukar karakter pemanduan model ini kepada pacuan roda hadapan (FWD), berbeza dengan MG4 yang terkenal dengan sistem RWD. Fokus kali ini jelas lebih kepada keselesaan pemanduan harian dalam bandar.
Tiga varian akan ditawarkan untuk pasaran Thailand:
• STANDARD – 150hp, bateri 42.8kWh, jarak sehingga 435km (NEDC)
• MAX – 160hp, bateri 53.9kWh, jarak sehingga 530km
• ULTRA – spesifikasi tertinggi lengkap Snapdragon 8155, Smart Parking Assist dan Remote Auto Parking

Kesemua varian turut menyokong fungsi V2L yang membolehkan kereta membekalkan kuasa elektrik kepada peralatan luaran sehingga 3.3kW.
Dari segi keselamatan, MG URBAN turut dilengkapi sistem ADAS Tahap 2 bersama sehingga 21 komponen keselamatan aktif termasuk radar, kamera dan sensor pintar.
Varian ULTRA juga boleh parkir sendiri menggunakan arahan daripada telefon pintar tanpa pemandu berada dalam kereta.
Dengan spesifikasi yang nampak “loaded” sebegini, ramai kini hanya menunggu satu perkara, berapa harga rasmi MG URBAN 2026 di Thailand apabila diumumkan pada 17 Jun nanti.








