
TOYOTA BANGUNKAN ENJIN V8 TURBO BERKEMBAR BARU, UNTUK SUPERCAR
Pada saat kebanyakan pengeluar automotif dunia sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada kenderaan elektrik (EV), Toyota dilihat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Toyota dilaporkan sedang giat membangunkan sebuah enjin V8 serba baharu prestasi tinggi dan berpotensi menjadi nadi kepada generasi baharu supercar Toyota dan Lexus pada masa hadapan.
Enjin tersebut merupakan unit 4.0 liter V8 turbo berkembar yang dibangunkan sepenuhnya dari awal dan akan dipadankan dengan teknologi hibrid. Pendekatan ini mencerminkan falsafah Toyota yang percaya bahawa masa depan automotif tidak bergantung kepada EV sahaja, tetapi melibatkan pembangunan enjin yang lebih cekap serta penggunaan sistem hibrid untuk prestasi tinggi
Enjin V8 baharu ini bukan sekadar direka untuk kegunaan kereta jalan raya, malah turut dibangunkan dengan mengambil kira aplikasi dalam dunia perlumbaan. Toyota dikatakan mahu menjadikan unit kuasa ini sebagai asas kepada program perlumbaan GT3 mereka, sekali gus membolehkan teknologi yang dibangunkan di litar digunakan pada model produksi untuk pengguna biasa.
Enjin ini juga berpotensi digunakan pada sebuah model prestasi tinggi yang sering dikaitkan dengan nama Lexus LFR, iaitu kereta yang dijangka menjadi pengganti spiritual kepada Lexus LFA. Selain itu, ia juga dipercayai akan menjadi asas kepada versi jalan raya bagi konsep GR GT3, sebuah jentera yang telah beberapa kali dipertontonkan oleh Toyota dalam acara automotif antarabangsa.

Penggunaan konfigurasi twin-turbo bersama sistem hibrid dijangka memberikan beberapa kelebihan dari segi prestasi. Selain menghasilkan kuasa yang tinggi, bantuan motor elektrik mampu meningkatkan tindak balas pendikit, mengurangkan turbo lag dan pada masa yang sama membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan memenuhi piawaian emisi yang semakin ketat.
Pendekatan ini turut menunjukkan bahawa Toyota melihat potensi besar dalam pembangunan enjin pembakaran dalaman. Berbeza dengan sesetengah pengeluar yang mengumumkan peralihan penuh kepada EV, Toyota berulang kali menegaskan bahawa masa depan mobiliti perlu melibatkan pelbagai teknologi termasuk hibrid, plug-in hybrid, hidrogen dan enjin pembakaran dalaman yang lebih efisien.
Jika rancangan ini menjadi kenyataan, enjin V8 baharu tersebut berpotensi meletakkan Toyota dan Lexus kembali dalam kelompok pengeluar kereta prestasi tinggi yang mampu bersaing dengan jenama-jenama premium dari Eropah seperti Ferrari, Mercedes-AMG dan McLaren.
Dengan gabungan kuasa V8 twin-turbo dan sistem hibrid moden, model yang menggunakannya dijangka menawarkan pengalaman pemanduan yang bukan sahaja pantas di jalan raya, malah cukup kompetitif di litar perlumbaan.

Buat masa ini, Toyota masih belum mengumumkan spesifikasi penuh atau tarikh pelancaran rasmi enjin tersebut. Namun, laporan awal yang mula muncul memberikan gambaran bahawa syarikat itu sedang merancang projek yang besar untuk masa depan divisyen prestasi Gazoo Racing dan jenama Lexus, sekali gus membuktikan bahawa era enjin V8 masih belum berakhir.









