Buletin

LAHIR DARI KAPITALIS, KEPADA INDUSTRI IA KEMBALI: BATERI EV TERPAKAI BANJIRI ‘BLACK MARKET’

Rangkaian pasaran gelap bateri kenderaan elektrik (EV) dikesan semakin berkembang di China apabila bateri terpakai daripada kenderaan elektrik disalurkan keluar daripada sistem kitar semula rasmi sebelum dipasang semula secara haram untuk kegunaan lain.

Pendedahan menerusi siasatan khas stesen penyiaran CCTV mendapati sel kuasa EV yang sepatutnya dilupuskan atau dikitar semula telah diubah suai menjadi pek bateri 60V dan 72V untuk basikal elektrik serta kenderaan dua roda.

Pengubahsuaian itu dilakukan bagi mengatasi had piawaian nasional 48V yang diwajibkan untuk kegunaan pengguna.

Aktiviti tersebut dilihat menjejaskan sistem pengawasan industri bateri negara yang kini dianggarkan bernilai sekitar AS$78 bilion (RM315.9 bilion).

Siasatan turut mendapati beberapa pusat pengubahsuaian mengenakan caj sekitar AS$2.96 (RM12) bagi mengubah pendawaian asal bateri. Proses itu menyebabkan sistem perlindungan keselamatan seperti kawalan lebihan arus, pengecasan berlebihan dan litar pintas tidak lagi berfungsi.

Bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa, sesetengah operator didakwa melabel kabinet pengecasan basikal elektrik sebagai kemudahan untuk motosikal elektrik.

Beberapa syarikat termasuk Guangxi Hongsheng New Energy dan Wuhan Wangzhongle Power dilaporkan masih menjalankan operasi pemasangan pek bateri berkapasiti tinggi tanpa pensijilan sah.

Kilang tertentu seperti Qingmiao Battery Plant juga dikatakan meningkatkan pengeluaran sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini berikutan permintaan tinggi, terutama ketika musim penghantaran barangan.

Kebocoran rantaian bekalan itu turut melibatkan syarikat yang mempunyai pengiktirafan rasmi kerajaan. Shanghai Huirong Regenerative Energy, yang disenaraikan sebagai perusahaan pemanfaatan bateri patuh piawaian oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, didapati menyalurkan semula sel EV terpakai ke dalam pasaran pengguna tidak sah.

Mengikut piawaian keselamatan industri, modul bateri EV terpakai tidak dibenarkan digunakan semula pada kenderaan dua roda kerana risiko ketidakstabilan haba yang boleh mencetuskan kebakaran.

Data rasmi menunjukkan kira-kira 33 peratus kebakaran melibatkan basikal elektrik berpunca daripada pengubahsuaian litar secara haram, manakala 80 peratus bateri yang terlibat dipercayai berasal daripada pek kuasa EV terpakai.

Bagi membendung kegiatan tersebut, pihak berkuasa China memperkenalkan pelan pembangunan komponen kitar semula yang memberi penekanan kepada sistem penjejakan digital bagi setiap bateri.

Melalui dasar standardisasi kitar hayat bateri yang berkuat kuasa pada 1 April 2026, setiap pek bateri akan diberikan identiti digital unik bagi membolehkan pergerakannya dipantau sepanjang tempoh penggunaan.

Peraturan baharu itu juga secara jelas melarang penggunaan semula bateri EV terpakai dalam sektor basikal elektrik pengguna.

Pasaran kitar semula dan pengesanan bateri di China dijangka berkembang sehingga AS$280 bilion (RM1.13 trilion) menjelang 2030.

Dalam masa sama, pihak berkuasa turut memantau kewujudan gudang simpanan tidak berdaftar yang digunakan bagi menyembunyikan stok bateri daripada pemeriksaan.

Shenzhen Zhongtou New Energy misalnya didakwa menggunakan hab logistik terpencil di kawasan pergunungan bagi mengasingkan operasi mereka daripada rangkaian pemantauan bandar.

Namun begitu, penurunan kos pengeluaran bateri sah dijangka menjadi faktor utama yang boleh mengekang kegiatan pasaran gelap tersebut.

Harga standard sel lithium iron phosphate kini turun dengan ketara susulan peningkatan pengeluaran besar-besaran oleh pengeluar utama.

Menurut China EV DataTracker, CATL kekal sebagai peneraju pasaran dengan pemasangan 23.12GWh pada Mei 2026, diikuti BYD sebanyak 11.87GWh.

Penganalisis percaya gabungan pengeluaran sah berskala besar dan sistem penjejakan ketat bakal menyukarkan operasi pengubahsuaian bateri haram untuk terus bertahan dalam industri kenderaan elektrik China.

Google ads
Back to top button