Buletin

CHERY MALAYSIA RASMI PUSAT 3S BAHARU DI KULAI

Chery Auto Malaysia terus memperkukuh pengaruhnya di wilayah selatan menerusi pembukaan pusat 3S baharu di Kulai, Johor yang dikendalikan oleh rakan pengedarnya, Autohub Mobility Sdn Bhd.

Dikenali sebagai Chery Kulai, fasiliti itu terletak di No. 4, Plot 12, Jalan SME 1, Kawasan Perindustrian SME dan menawarkan perkhidmatan jualan, servis serta alat ganti dalam satu lokasi.

Pusat berkeluasan 734 meter persegi itu direka bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pelanggan, bermula daripada sesi melihat kenderaan sehinggalah kepada perkhidmatan selepas jualan.

Menariknya, Chery Kulai menjadi cawangan kedua di Malaysia yang menampilkan konsep reka bentuk bilik pameran Gen 4.0 Chery, selain menjadi yang pertama diperkenalkan di wilayah selatan.

Konsep moden berteraskan pelanggan itu menonjolkan pendekatan premium jenama berkenaan dalam aspek runcit dan pemilikan kenderaan.

Pembukaan tersebut turut menandakan cawangan kedua milik Autohub Mobility di Johor selepas operasi Chery Tampoi yang berstatus pusat 4S.

Dengan tambahan itu, Chery Auto Malaysia kini mempunyai 11 pusat pameran di seluruh Johor.

Pengunjung ke Chery Kulai berpeluang melihat rangkaian penuh model Chery dalam suasana kontemporari dan selesa.

Fasiliti itu turut menyediakan ruang menunggu pelanggan serta pusat servis lengkap dengan empat ruang penyelenggaraan.

Semua kerja penyelenggaraan dikendalikan juruteknik terlatih Chery bagi memastikan mutu servis yang profesional dan diyakini pelanggan.

Bilik pameran Chery Kulai dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang termasuk cuti umum, manakala pusat servis beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Sabtu.

Google ads
Back to top button