Buletin

HYUNDAI INTIUM CONCEPT, GUNA HIDROGEN!

Di sebalik lonjakan kenderaan elektrik bateri (BEV), agenda kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) sedang diatur oleh beberapa pengeluar.

Sebagai contoh Toyota Mirai, Crown Sedan, Honda CR-V dan Hyundai Nexo. Toyota dan BMW juga bekerjasama di dalam bidang ini.

Tidak hanya kereta penumpang, Toyota dan Honda telah melebarkan sayap ke dalam kenderaan perdagangan manakala lori Hyundai Xcient sudah dipandu 10 juta kilometer (km) secara kumulatif.

Ini pula produk FCEV terbaru iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Intium Concept.

Intium merujuk kepada perkataan Latin yang bermakna permulaan atau pertama dan mewakili status Hyundai sebagai perintis tenaga hidrogen dan komitmen syarikat dalam membangunkan masyarakat hidrogen.

Intium adalah gambaran awal model FCEV baharu yang dirancang untuk diperkenal pada setengah tahun pertama 2025.

Kereta konsep ini menghimpunkan 27 tahun pembangunan teknologi hidrogen oleh Hyundai dan cerminan kepada komitmen yang jelas ke arah membangunkan masyarakat hidrogen.

Dari segi reka bentuk, Intium menjadi pentas pertama untuk bahasa reka bentuk baharu Hyundai iaitu Art of Steel dan membawa karakter HTWO iaitu jenama perniagaan rantaian nilai hidrogen khusus dari Hyundai Motor Group.

Secara keseluruhan, Intium nampak rugged dengan pendakap lingkungan roda tebal dan rekaan bersegi.

Bentuk lampu depan dan belakang berpetak dan memanjang juga menarik selain cerun belakang ala Hyundai Kona.

Bahagian sisi kereta menonjol dengan dua lekukan yang dalam dan corak rim saiz 21 inci. Rak bumbung mengesahkan lagi konsep Intium.

Menurut Hyundai, pembangunan Intium ditumpukan pada tiga ciri utama iaitu jarak pemanduan cemerlang dan prestasi yang dipertingkatkan, ruang dalaman dan bagasi yang luas.

Ciri tersebut menjadikan Intium kenderaan yang sesuai untuk keluarga selain kebolehgunaan dan ciri-ciri keselamatan yang unik pada kereta hidrogen.

Dari situ, Hyundai melengkapi Intium dengan tangki bahan api hidrogen yang besar untuk memaksimumkan jarak pemanduan.

Intium juga dilengkapi rim aerodinamik bagi mengurangkan seretan dan dibalut tayar rintangan rendah untuk sasaran pemanduan lebih 650 km di antara isian semula.

Dari segi prestasi, Intium menawarkan pecutan yang bagus dan keupayaan memotong yang lancar.

Hyundai meningkatkan output stack (susunan sel bahan api) dan kapasiti bateri yang membolehkan motor elektrik menghasilkan 150 kW (204 ps).

Dari segi keselesaan, bahagian belakang mempunyai ruang yang luas dengan sandaran kerusi boleh direbahkan pada julat besar.

Badan lebar dan sudut bukaan pintu belakang yang luas juga membantu memudahkan penumpang keluar dan masuk kereta.

Intium turut dilengkapi perancang laluan khusus untuk FCEV dan menangani cabaran infrastruktur pengecasan.

Pengguna boleh memanfaatkannya untuk laluan optimal dan pencarian stesen pengecasan tanpa perlu aplikasi berasingan. Sistem itu juga membolehkan pengguna memeriksa status operasi dan jumlah yang menunggu.

Satu lagi fungsi yang bagus ialah Vehicle-to-Load (V2L) untuk Intium digunakan sebagai pembekal tenaga elektrik.

Dari segi keselamatan, Intium diperkukuh dengan struktur pelbagai rangka di depan, struktur badan sisi dan sembilan beg udara.

Google ads
Back to top button