Pandu Uji

GWM ORA 07, LENJAN SAMPAI BATERI 0%….

GWM Ora 07 datang dengan 2 varian, samaada varian Performance dengan 2 motor elektrik yang menjana sehingga 402 kuasa kuda dan 680Nm tork atau varian Long Range yang hanya menggunakan 1 motor elektrik dan menjana 201 kuasa kuda serta 340Nm tork.

Semua varian dibekalkan dengan bateri Lithium Ion-NMC dengan kapasiti mencecah sehingga 83.5kWh. Berbeza dengan varian Performance, varian Long Range datang dengan kecekapan yang lebih tinggi serta berupaya memberikan jarak perjalanan sehingga 640km mengikut bacaan NEDC.

Namun untuk bacaan yang lebih realistik, jarak perjalanan sebenar perlu diukur dalam kiraan WLTP. Masalahnya ialah GWM Ora 07 tidak diberikan data lengkap berkenaan jarak perjalanan dalam kiraan WLTP. Mungkin kita boleh memberi anggaran dengan kiraan 85% daripada angka 640km iaitu sekitar 544km.

Adakah angka ini realistik bagi pemanduan sebenar dalam keadaan cuaca panas dan melalui pelbagai keadaan jalan dari lebuhraya ke jalan sesak? Bagi mengetahui adakah GWM Ora 07 ini mampu memberikan jarak pemanduan yang dijanjikan, Mekanika Malaysia telah menguji kereta ini sendiri bagi perjalanan jarak jauh

Perjalanan ini bermula dari studio Mekanika Malaysia di Kuala Lumpur, dipandu oleh Abang Japar menuju ke utara dalam misi menghabiskan bateri GWM Ora 07 sehingga 0%. Perjalanan ini dimulakan dengan bateri dicaj sehingga penuh dan menunjukkan jarak perjalanan penuh sehingga 640km.

Tekanan udara pada tayar pula telah diisi mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh GWM. Bagi menjadikan perjalanan lebih realistik, GWM Ora 07 dipandu oleh Abang Japar, ditemani dengan Abang Beras dan 2 jurukamera selain ruang kargo belakang diisi dengan beg pakaian serta penyaman udara dipasang pada suhu yang sejuk (bukan dihadkan pada 25 darjah Celcius).

Peringkat pertama perjalanan ialah sehingga ke Ipoh ke rumah penulis, sebelum penulis sendiri memandu GWM Ora 07 dari bandar Ipoh menuju ke hentian seterusnya untuk makan tengahari di Nibong Tebal. Perjalanan dari Ipoh dibuat melalui jalan persekutuan, merentasi Chemor, Sungai Siput, bandar Kuala Kangsar dan masuk semula ke lebuh raya melalui Tol Kuala Kangsar.

Penulis memandu mengikut halaju kebangsaan iaitu 110km/jam di lorong sebelah kiri, kadang kala perlahan sehingga 90km/jam di belakang lori dan mula memecut sehingga 120km/jam di sebelah kanan sewaktu memotong.

Bagi perjalanan di jalan persekutuan, halaju dipandu adalah mengikut halaju yang dibenarkan antara 70-90km/jam. Pendek kata kami memandu dalam keadaan normal dan bukannya terlalu perlahan sehingga menyusahkan pemandu lain.

Dari Nibong Tebal, GWM Ora 07 dipandu masuk semula ke lebuhraya PLUS, sebelum kami menyusur masuk ke Pulau Pinang menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim. Ketika ini cuaca di Pulau Pinang agak panas dan suhu penyaman udara ditetapkan pada 19 darjah Celcius

Ketika memandu keluar dari Pulau Pinang menerusi jambatan pertama, GWM Ora 07 sempat melalui kesesakan jalan dari bandar George Town menuju ke Seberang Prai. Perjalanan menjadi semakin lancar apabila melepasi Sungai Petani dan kami memutuskan untuk melakukan pusingan U di bandar Alor Star.

Memasuki peringkat akhir perjalanan dari Alor Star menuju balik ke Sungai Petani, bateri GWM Ora 07 hanya tinggal 10% sahaja lagi sebaik sahaja kereta elektrik ini memasuki lebuh raya dan logo bateri bertukar menjadi warna merah.

Ketika ini perkara ynag paling ditakuti ialah kereta elektrik ini tersadai di tepi lebuh raya menunggu trak tunda flatbad. Penulis memutuskan untuk menghadkan kelajuan maksimum kepada 90% sahaja dan masih tiba di bandar Sungai Petani dengan baki bateri sekitar 4%.

Bagi memastikan bateri ini habis sehingga 0%, kami memutuskan untuk “bersiar-siar” di kawasan berdekatan dengan pusat mengecaj. Apabila bateri tinggal 3%, pemampat penyaman udara tidak lagi beroperasi, dan hanya kipas blower sahaja yang beroperasi

Pecutan GWM Ora 07 menjadi kurang berkuasa serta halaju dihadkan kepada 60km/jam sahaja, dan halaju maksima ini turun kepada 40km/jam sebaik sahaja mencecah 2%. Halaju ini terus menurun menjadi 20km/jam sahaja apabila bateri tinggal 1% dan masih lagi boleh dipandu dengan keadaan merayap dengan 0%.

Namun atas sebab keselamatan dan tidak mahu menyusahkan pengguna jalan raya lain, kami memutuskan untuk merayap dan balik semula ke tempat mengecaj 60kWh sekaligus menamatkan cabaran pemanduan dengan jarak 585.6km, lebih tinggi daripada anggaran jarak WLTP

Salah perkara yang menakjubkan ialah kecekapan sistem trenkuasa elektrik yang digunakan oleh GWM Ora 07, dengan purata penggunaan tenaga elektrik 12.6kWh bagi setiap 100km. Secara kiraan, ia memberikan angka sekitar 7.93km bagi setiap 1kWh.

Namun begitu, keupayaan GWM Ora 07 mencapai sehingga 91.5% jarak pemanduan daripada 640km mengikut bacaan WLTP adalah satu perkara yang boleh dipuji menjadikannya antara kereta elektrik mampu milik pada harga RM 169,800 yang boleh dipandu jauh tanpa kerisauan.

Google ads
Back to top button