Buletin

SELAMAT TINGGAL ENJIN BENTLEY L-SERIES V8, DARI 1959-2020!

Sejarah automotif dunia sudah menjangkau lebih seratus tahun dan teknologi enjin pembakaran dalaman masih lagi kekal mengikut konsep sama.

Benar, pelbagai teknologi baharu diperkenalkan dan menjadikan operasi dan penggunaan minyak semakin cekap tetapi asasnya masih sama.

Selain teknologi asas, ada pengeluar yang tetap setia menggunakan enjin sama berpuluh tahun lamanya sebagai contoh Bentley dengan enjin Siri L V8 yang bermula dari sesaran 6.2 liter hingga 6.75 liter.

Enjin Siri L berada dalam tempoh pengeluaran cukup lama dan sudah melebihi 60 tahun. Ia mempunyai konfigurasi dan jarak bore (bore spacing) yang sama iaitu 4.1 inci sejak versi pertama tahun 1959.

Enjin legenda itu disiapkan buat kali terakhir pada 1 Jun 2020 di kilang Bentley di Crewe, England. Tugas tersebut disempurnakan tujuh individu yang apabila digabungkan mempunyai 105 tahun pengalaman dalam membina enjin V8 ikonik Bentley. 

Enjin itu dipasang di dalam unit ke-30 dan terakhir Mulsanne 6.75 Edition by Mulliner tempahan khas. 

Enjin Siri L V8 dibangunkan oleh jurutera Bentley bagi menggantikan enjin bentangan sebaris enam silinder yang digunakan pada era 50an dan sebelumnya.

Pada awal 50an, Pereka Enjin Kanan iaitu Jack Philips telah diminta untuk membuat satu kajian rahsia bagi mencari pengganti enjin enam silinder yang digunakan pada Bentley Mark VI, R-Type and S1.

Tugas beliau bagi membina enjin yang sekurang-kurangnya 50 peratus lebih berkuasa daripada enjin enam silinder sedia ada dan pada sama perlu dimuatkan di dalam bonet tanpa penambahan berat.

Jawapannya ialah enjin dengan konfigurasi V dan kebolehan Jack Philips dan pasukannya terbukti apabila enjin baharu itu dijalankan hanya 18 bulan selepas proses reka bentuk bermula.

Enjin 6.2 liter V8 tersebut pertama kali digunakan pada Bentley S2 1959 dengan kuasa sekitar 180 bhp. Ianya juga 13.6 kg lebih ringan berbanding enjin enam silinder sebelumnya.

Bentley S2 juga hebat dengan penyaman udara, stereng berkuasa dan pelbagai ciri canggih dan mewah pada era tersebut.

Sejak dari itu pelbagai teknologi enjin dan pembaharuan diperkenalkan seperti turbo tunggal dan berkembar, sistem kawalan elektronik, suntikan bahan api, pemasaan injap boleh ubah (variable valve timing) dan ia sesuatu yang menakjubkan bagi sebuah enjin dari era lewat 50an.

Dari sebuah enjin tidak sampai 200 bhp, ia dibangunkan menjadi 530 bhp untuk model Mulsanne Speed di samping daya kilas 1,100 Nm. Pada masa yang sama, kadar emisi berbahaya juga berjaya diturunkan.

Sebanyak 36,000 enjin Siri L dikeluarkan dalam tempoh 60 tahun lalu dan kesemuanya dipasang dengan tangan di ibu pejabat Bentley di Crewe. Untuk sebuah enjin terkini, masa yang diperlukan ialah 15 jam bagi memasangnya.

Selepas siap dan melepasi pelbagai ujian, enjin tersebut diluluskan oleh pakar enjin Bentley yang merupakan amalan sejak berdekad lalu dan sekeping plat yang mempunyai tandatangan dilekatkan pada bahagian depan enjin.

Berakhirnya enjin Siri L V8, Bentley menggunakan enjin baharu W12 4.0 liter V8 dan V6 Hibrid bagi mencipta sejarah baharu untuk masa depan.

Flying Spur generasi ketiga pula menjadi model perdana (flagship) Bentley selepas kesemua 30 unit Mulsanne 6.75 Edition by Mulliner disiapkan.

BACA: BENTLEY JUAL MADU BENTLEY BEE – TERNAK LEBAH DI KILANG

BACA: BENTLEY FLYING SPUR KINI LEBIH BESAR DAN CANGGIH – NAK LAWAN S-CLASS & MAYBACH

BACA: SUNBEAM 350HP, 3 KALI REKOD KELAJUAN DARAT PADA ERA 20AN, KINI DIBAIK PULIH

Google ads
Back to top button