Buletin

POS MALAYSIA TAMATKAN KONTRAK 100 PENGHANTAR BARANG. RAMAI MASIH TANGGUNG HUTANG BELI VAN

Lebih 100 penghantar barang kontrak Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) merayu supaya syarikat itu mempertimbangkan keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka bermula 1 Julai ini.

Rata-rata mereka yang ditemui memberitahu, keputusan tersebut sememangnya sesuatu yang mengejutkan dan kini tidak mampu untuk tidur lena memikirkan masa depan.

Menurut seorang pekerja terlibat, Demang Yunis Abd. Azis, 35, kesemua mereka mengakui terdapat klausa dalam kontrak masing-masing yang menyatakan pihak syarikat berhak menamatkan perjanjian tersebut pada bila-bila masa dengan notis dalam tempoh 14 hari tanpa perlu menyatakan apa-apa sebab.

Namun, katanya, penamatan kontrak dalam tempoh sukar ini sudah tentu mendatangkan kesan besar terhadap mereka yang terlibat. Apatah lagi kebanyakan yang terlibat masih menanggung hutang bagi memulakan kerjaya tersebut, kira-kira setahun lalu.

“Untuk mendapatkan pekerjaan ini, kami dikenakan syarat iaitu perlu memiliki van. Disebabkan itu, ramai antara kami yang mengeluarkan modal termasuk berhutang semata-mata bagi membeli kenderaan itu serta melakukan kerja baik pulih.

“Tetapi hanya beberapa bulan selepas menjalankan kerja ini, tiba-tiba kontrak kami ditamatkan lebih awal,” katanya.

Justeru, pekerja terlibat  memohon ihsan pihak syarikat untuk setidak-tidaknya memberi ruang agar penamatan kontrak mereka ditangguh hingga tarikh sebenar seperti yang termaktub dalam kontrak asal demi kelangsungan hidup mereka.

“Mengikut perjanjian asal, kontrak saya berakhir pada 26 Oktober ini. Jika dapat diberikan kelonggaran hingga ke tarikh itu, setidak-tidaknya boleh saya membuat  persiapan awal,” katanya

Rakannya, Mohd. Farhan Roslee, 29, berkata, dia masih tidak mempunyai pekerjaan lain untuk menyara keluarga selepas diberhentikan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat ini hutang membeli van yang perlu saya jelaskan lebih RM10,0OO dengan keadaan anak sulung bakal lahir tidak lama lagi,” ujarnya.

Seorang lagi penghantar barang, Wan Amirul Ikbal Hakim Zamzuri memberitahu, rata-rata mereka yang terlibat tidak menyangka perkara sebegitu boleh terjadi ketika masing-masing bergelut untuk berdepan impak pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan pelantikan kami sebelum ini bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah lambakan barangan ketika PKP 1.0  dulu. Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan lain diberhentikan kerja sebelum tempoh pelaksanaan PKP 3.0 berakhir,” jelasnya.

Utusan Malaysia sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Pos Malaysia. – Utusan Malaysia 

Google ads
Back to top button