Buletin

BENTLEY CONTINENTAL GT INI GUNA EFUEL!

Akio Toyoda pada 2021 mengatakan bahawa dalam menuju ke arah karbon neutral, karbon adalah musuh dan bukan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Saranan beliau adalah untuk industri memanfaatkan kelebihan teknologi yang ada dan memaksimumkan pengurangan karbon dioksida (CO2) melalui penggunaan kenderaan elektrifikasi di pasaran.

Apa yang dikatakan beliau selari dengan strategi Toyota multi-pathway yang tidak menumpukan pada kenderaan elektrik bateri (BEV) semata-mata tetapi pelbagai lagi termasuk hidrogen.

Industri automotif sebenarnya mempunyai pelbagai kaedah ke arah pengurangan karbon namun BEV menjadi tumpuan utama.

Di antara faktor utama pada tumpuan tersebut apabila beberapa negara di Eropah mahu mengharamkan ICE dan kesannya sudah boleh dirasa sekarang.

Walaupun begitu, pengeluar tidak terhalang untuk terus membangunkan teknologi mesra alam untuk kenderaan ICE.

Sebagai contoh Bentley telah menganjurkan acara pemanduan media antarabangsa pertama yang menggunakan eFuel dan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi mengurangkan kesan pada alam sekitar.

157 jemputan dari seluruh dunia hadir di Switzerland untuk pelancaran media antarabangsa Continental GT Speed coupe dan convertible generasi keempat.

Continental GT Speed merupakan kereta jalanan yang paling berkuasa Bentley pernah hasilkan.

Walaupun dengan rekaan sama, rangkaian kuasa baharu iaitu Ultra Performance Hybrid yang menggabungkan enjin 4.0 liter V8 turbo dan perkakasan elektrik menghasilkan 782 ps dan 1,000Nm.

Hamburan tersebut lebih perkasa berbanding enjin W12 tetapi dengan penurunan CO2 yang ketara iaitu 29 gram per kilometer (g/km).

Campuran yang digunakan untuk pemanduan media ialah R75 iaitu 75 peratus eFuel dan 25 peratus petrol biasa. Bahan api itu diisi pada kedua-dua kereta media dan kereta sokongan.

Bateri hibrid dengan kapasiti 25.9 kilowatt-jam (kWj) pula dicas menggunakan tenaga elektrik boleh baharu daripada kuasa hidroelektrik dan turbin angin setempat.

Laluan pemanduan pula merentasi empat laluan pergunungan yang masyhur iaitu Sustenpass,  Grimselpass, Nufenenpass dan St. Gotthard.

Sepanjang sesi selama tujuh hari, 12 buah Continental GT Speed mendaki 1,400,000 kaki dan melalui lebih 4,500 selekoh dengan jarak keseluruhan 12,875 kilometer.

Bentley sekarang ini aktif dalam penyelidikan bahan api alternatif termasuk bahan api biogenik dan eFuel sebagai sebahagian daripada strategi masa depan sebelum melangkah ke era elektrifikasi sepenuhnya.

Semua model Bentley di pasaran kini boleh menggunakan bahan api boleh baharu.

Ringkasan mengenai eFuel:

  • eFuels (bahan api elektrik) adalah bahan api sintetik dalam bentuk cecair
  • Dihasilkan daripada hidrogen yang diperoleh sepenuhnya daripada tenaga boleh diperbaharui dan CO2 yang boleh diambil atau esktrak dari udara sekitar
  • Bahan api yang hampir bebas CO2 dan boleh digunakan pada kenderaan sedia ada tanpa pengubahsuaian
  • Boleh digunakan pada stesen minyak sedia ada dan dicampur dengan petrol biasa
  • Porsche bersama rakan kerjasama antarabangsa dan syarikat Highly Innovative Fuels (HIF) telah menubuhkan kilang perintis Haru Oni di Chile
  • Lokasi itu dipilih kerana tahap angin kuat yang tekal untuk turbin angin menjana tenaga elektrik boleh baharu. Keadaan yang sesuai selama 270 hari atau empat kali ganda berbanding Eropah
  • Tenaga elektrik dari turbin angin menguasakan elektrolisis yang menghasilkan hidrogen daripada air
  • CO2 biogenik dihasilkan daripada proses adunan sebelum penggunaan Sistem Penangkapan Udara Langsung (DAC) pada 2025 bagi mengekstrak CO2 dari atmosfera
  • Gas-gas tersebut digabungkan untuk menghasilkan metanol yang kemudian ditukar menggunakan sintesis metanol-ke-petrol untuk menghasilkan eFuel.
  • eFuel tersebut kemudiannya disesuaikan untuk memenuhi piawaian stesen minyak sedia ada

Google ads
Back to top button