
SUBARU TRAILSEEKER EV: LAJU MENGALAHKAN WRX STI, TAPI BENTUKNYA MASIH JADI TEKA-TEKI
Subaru bukanlah jenama yang kerap mengeluarkan model baharu setiap tahun, berbanding pesaingnya yang lebih besar.
Namun di pentas New York Auto Show baru-baru ini, jenama Jepun itu hadir dengan tiga kemunculan penting—kemaskini Solterra, pengenalan Trailseeker serba baharu, serta bayangan awal untuk Outback versi baharu.
Trailseeker ialah model elektrik yang meminjam banyak elemen daripada Solterra tetapi dibina untuk mereka yang mahukan lebih ruang dan kuasa.
Ia juga berkongsi asas dengan model Toyota, walaupun setakat ini versi “kembar” daripada Toyota itu masih belum didedahkan kepada umum.

Reka bentuk Trailseeker mungkin mengundang perdebatan. Gambar rasmi dikongsi Subaru kelihatan seperti hasil suntingan komputer yang tergesa-gesa, bahkan ada menyifatkannya seperti dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) tanpa semakan akhir.
Ia kelihatan lebih menyerupai wagon berbanding SUV, namun mengekalkan bahasa rekaan tajam seperti Solterra. Dimensinya sedikit lebih besar—sekitar 25mm lebih tinggi dan 150mm lebih panjang berbanding Solterra.
Dari segi prestasi, Trailseeker menonjol. Ia dilengkapi sistem pacuan dua motor elektrik yang menghasilkan anggaran kuasa sekitar 375hp, meletakkannya sebagai antara model Subaru paling pantas pernah dihasilkan.
Dengan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.4 saat, Trailseeker mengalahkan WRX STI lama dan WRX TR baharu yang masing-masing mengambil masa sekitar 5.6 saat.

Tenaga disimpan dalam pek bateri 74.7kWh yang dipasang di bawah lantai, namun jarak kelegaan tanah masih kekal pada 211mm, sama seperti Solterra.
Subaru mendakwa Trailseeker mampu bergerak sejauh lebih 418km dengan sekali cas melalui port pengecasan standard NACS. Ia juga mampu menarik beban sehingga 1,590kg, menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian dan pengembaraan.
Untuk keupayaan lasak, sistem X-Mode disertakan dengan mod Snow/Dirt, Deep Snow/Mud, Grip Control, dan Downhill Assist Control.
Bahagian kabin Trailseeker pula menampilkan skrin sentuh besar bersaiz 14-inci—yang terbesar pernah digunakan dalam kenderaan Subaru setakat ini. Kelengkapan lain termasuklah dua pad pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar sebagai ciri standard.
Masih banyak perincian teknikal belum didedahkan, termasuk kadar pengecasan, sudut masuk dan keluar, serta harga. Tetapi dijangka maklumat lanjut akan didedahkan dalam masa terdekat, termasuk juga kemungkinan munculnya model kembar dari Toyota.