
TAJ IZRIN AIMAN JUARA TOYOTA GAZOO RACING (GR) GT CUP ASIA 2024
Kejohanan TOYOTA GAZOO Racing (GR) GT Cup Asia 2024 menyaksikan pelumba Malaysia, Taj Izrin Aiman, dinobatkan sebagai juara individu selepas menamatkan perlumbaan dengan 65 mata.
Kejohanan yang berlangsung di Connexion Conference and Event Centre, Kuala Lumpur ini menyaksikan penyertaan 15 pelumba terbaik e-Motorsport dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.
Mereka bersaing dalam tiga perlumbaan sengit untuk merebut gelaran juara dan peluang mewakili rantau Asia ke GR GT Global Finals di Amsterdam pada Disember nanti.

Andika Rama dari Indonesia, juara bertahan tahun lalu, menunjukkan semangat dan menamatkan kejohanan di tempat kedua dengan 57 mata.
Rakan sepasukannya, Moreno Pratama, menduduki tempat ketiga dengan 48 mata. Pasukan Indonesia juga meraih gelaran Country Championship berkat prestasi konsisten kedua-dua pelumba.
Pertandingan ini menggunakan permainan Gran Turismo 7 di PlayStation®5 dan PlayStation®4, dengan tiga perlumbaan mendebarkan di litar ikonik seperti Sardegna Windmills, Nürburgring Grand Prix (GP), dan Fuji International Speedway.
Perlumbaan pertama menyaksikan Andika Rama mendominasi di Sardegna Windmills, manakala Moreno Pratama meraih kemenangan di Nürburgring GP.

Taj Izrin Aiman, menerusi strategi hentian pit yang bijak, memastikan kemenangannya dalam perlumbaan terakhir di Fuji International Speedway.
Selain kemenangan utama, Aiman turut dianugerahkan gelaran ‘Driver of the Day’, manakala Russel Reyes dari Filipina menerima anugerah ‘Best Racecraft Driver’.
Kejuaraan ditentukan melalui mata terkumpul daripada kedudukan dalam tiga perlumbaan, lima kedudukan teratas dalam pusingan kelayakan, serta mata bonus untuk catatan masa terpantas.
Pemenang individu dan pasukan tiga teratas masing-masing menerima hadiah wang tunai AS$8,000 (RM34,488), AS$4,500 (RM19,399), dan AS$3,000 (RM12,932).
Aiman dan Andika akan mewakili Asia di GR GT Global Finals, Amsterdam, berentap dengan pelumba e-Motorsport terbaik dunia.
- BACA: SAC MOTOR MALAYSIA RAI 39 JURUTEKNIK BERTAULIAH UNTUK PERKHIDMATAN KUALITI TINGGI
- BACA: ALPINE A110 R ULTIME – MODEL YANG PALING LAJU DAN BERKUASA UNTUK SIRI A110!
- BACA: LEXUS RZ – SUV ELEKTRIK PREMIUM BUATAN JEPUN PERTAMA DI MALAYSIA
- BACA: LEAPMOTOR C10 RASMI DILANCARKAN – 214HP, TAWAR JARAK GERAK 424KM, HARGA BERMULA RM149K