Buletin

TAK PERLU SUSAH HATI, PENGECAS BERGERAK DATANG CARI KERETA!

Masalah kekurangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kawasan perumahan lama kini mula menemui penyelesaian baharu di Nanning apabila robot pengecas mudah alih diperkenalkan kepada penduduk setempat.

Di sebuah komuniti perumahan yang menempatkan lebih 400 EV, peranti pintar yang digelar “power bank bergerak” ini membolehkan pemilik kenderaan memanggil pengecas terus ke lokasi parkir mereka melalui aplikasi telefon.

Robot setinggi kira-kira 1.5 meter itu dilengkapi bateri berkapasiti sekitar 100kWj dan mampu bergerak sendiri ke arah kenderaan sebelum memulakan proses pengecasan pantas dalam tempoh beberapa minit.

Kenderaan yang tinggal sekitar 10 peratus bateri boleh dicas semula hingga mencukupi dalam masa antara 40 minit hingga satu jam.

Seorang penduduk, Liu, menyifatkan kemudahan itu sebagai penjimatan masa dan tenaga. “Tak perlu lagi ke stesen pengecas. Parkir di rumah pun boleh terus cas, dan kos elektrik juga lebih rendah,” katanya.

Menurut pengurus projek, kelebihan utama teknologi ini ialah ia tidak memerlukan pengubahsuaian besar pada sistem grid elektrik sedia ada.

Selain itu, ia juga tidak mengambil ruang parkir kekal, menjadikannya sesuai untuk kawasan kediaman lama yang berdepan kekangan ruang.

Pendekatan ini sekali gus mengubah konsep tradisional “kereta mencari pengecas” kepada model baharu iaitu “pengecas datang kepada kereta”.

Teknologi tersebut dibangunkan oleh Eraergy menerusi produk dikenali sebagai Energy Tank. Ia menggabungkan sistem penyimpanan tenaga, casis bergerak serta kawalan pintar dalam satu unit yang boleh dihantar mengikut permintaan.

Energy Tank ditawarkan dalam tiga pilihan kapasiti iaitu 30kWj, 100kWj dan 200kWj, dengan kuasa pelepasan maksimum mencecah 120kW.

Penggunaan robot pengecas ini turut diperluaskan ke sektor lain seperti hotel, kawasan rehat lebuh raya dan hab logistik.

Di hotel misalnya, tetamu boleh menyemak ketersediaan pengecas mudah alih ketika membuat tempahan bilik tanpa memerlukan pihak hotel melabur dalam naik taraf sistem elektrik yang mahal.

Dalam sektor logistik pula, syarikat seperti SF Express menggunakan teknologi ini untuk mengecas kenderaan semasa proses memuat atau menunggu, sekali gus mengurangkan masa menunggu di stesen pengecas.

Pada masa sama, gergasi bateri global CATL turut meneroka bidang sama melalui produk pengecas mudah alih mereka yang digunakan di kawasan lebuh raya, khususnya ketika musim perayaan bagi mengurangkan kesesakan di stesen pengecas.

Buat masa ini, sistem tersebut masih bergantung kepada kawalan jarak jauh dan automasi terhad. Namun, pembangunan sedang giat dijalankan untuk mencapai tahap operasi autonomi penuh tanpa pemandu (L4) dalam kawasan tertutup seperti tapak industri dan komuniti berpagar.

Google ads
Back to top button