
TEAM MITSUBISHI RALLIART PERTAHAN GELARAN AXCR 2026
Team Mitsubishi Ralliart sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas rali lasak apabila muncul juara keseluruhan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 yang berlangsung di Thailand dari 9 hingga 15 Ogos lalu.
Kejayaan itu diraih menerusi gandingan pemandu Jepun, Katsuhiko Taguchi dan jurunavigasi Takahiro Yasui yang memacu Mitsubishi Triton spesifikasi T1, sekali gus menghadiahkan kejuaraan kedua berturut-turut buat pasukan tersebut.
Lebih membanggakan, ia juga merupakan kemenangan pertama dalam sejarah AXCR yang dicatatkan oleh pasangan pemandu dan jurunavigasi dari Jepun.
Edisi ke-31 AXCR tahun ini melibatkan jarak keseluruhan sejauh 2,145.19 kilometer, termasuk 921.80 kilometer laluan khas berkelajuan tinggi dan berhalangan.

Taguchi menamatkan cabaran dengan catatan masa keseluruhan 12 jam 58 minit 20 saat untuk muncul juara.
Seorang lagi wakil Mitsubishi Motors, Kazuto Koide, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27 keseluruhan, manakala juara bertahan, Chayapon Yotha, menamatkan saingan di tempat ke-36 selepas berdepan beberapa masalah teknikal sepanjang perlumbaan.
AXCR dikenali sebagai antara rali rentas desa paling mencabar di Asia Tenggara. Laluan di Thailand menampilkan gabungan hutan tebal, ladang, laluan berbatu, lintasan sungai serta jalan berlumpur yang licin, selain cuaca panas dan lembap yang menguji ketahanan pemandu, jentera serta kru pasukan.
Perlumbaan bermula di Pattaya sebelum peserta bergerak ke beberapa wilayah utama termasuk Prachin Buri, Nakhon Sawan, Kamphaeng Phet dan Phitsanulok.
Setiap peringkat menawarkan cabaran berbeza, daripada laluan yang ditenggelami air akibat hujan lebat hinggalah trek berbatu dan jalan ladang yang mengelirukan dari segi navigasi.
Taguchi memulakan kempen dengan cemerlang apabila menamatkan peringkat pertama di tempat ketiga keseluruhan.
Beliau kemudian mencatat masa terpantas pada peringkat ketiga untuk merampas kedudukan pendahulu sebelum terus memperkukuhkan kelebihan tersebut sehingga penghujung perlumbaan.
Menjelang penghujung peringkat kelima, pasangan Taguchi-Yasui berjaya membina kelebihan lebih lima minit ke atas pencabar terdekat.
Pada hari terakhir, mereka memilih pendekatan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan sebelum mengesahkan kemenangan keseluruhan dengan kelebihan dua minit 25 saat.
Koide pula berdepan permulaan sukar apabila terperangkap di dalam parit pada peringkat pertama yang menyebabkan beliau dikenakan penalti masa.
Namun, beliau bangkit pada peringkat berikutnya dan berjaya mencatat masa kelapan terpantas dalam SS5 sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27.
Sementara itu, Yotha mengalami beberapa insiden termasuk tayar pancit dan masalah enjin yang menjejaskan peluangnya mempertahankan gelaran individu. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap berjaya melengkapkan perlumbaan dan mengutip mata penting buat pasukan.
Pengarah Team Mitsubishi Ralliart, Hiroshi Masuoka, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerjasama erat seluruh pasukan.
“Kejayaan pasangan Jepun meraih kemenangan keseluruhan buat kali pertama dalam sejarah AXCR amat membanggakan. Perlumbaan tahun ini sangat sengit dan sukar diramal, namun semangat berpasukan menjadi faktor utama kejayaan kami,” katanya.
Taguchi pula mengakui persaingan berlangsung amat sengit sejak hari pertama, namun peningkatan prestasi Triton membolehkannya mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan.
Beliau berkata pengendalian jentera yang lebih baik membantu mengurangkan risiko kerosakan dan memberi keyakinan untuk mengekalkan kelajuan di laluan mencabar.

