
THAILAND LANCAR ‘SERANGAN BALAS’ SELEPAS INDONESIA CUBA TARIK TOYOTA
Kerajaan Thailand sedang merancang rombakan besar terhadap struktur cukai eksais automotif negara itu dengan memberi kadar cukai lebih rendah kepada kenderaan yang dipasang atau dihasilkan secara tempatan, manakala kenderaan import sepenuhnya (CBU) daripada syarikat yang tidak mempunyai pelaburan pengeluaran di Thailand bakal dikenakan cukai lebih tinggi.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas, berkata langkah tersebut perlu dilaksanakan segera bagi memastikan negara itu terus kekal sebagai hab automotif utama di rantau ASEAN.
Beliau telah mengarahkan pegawai kanan kementerian menyiapkan cadangan struktur baharu itu menjelang September, sebelum ia dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung tahun 2026.
Cadangan tersebut muncul selepas Indonesia dilaporkan berusaha menarik pengeluar automotif global, termasuk Toyota, untuk memindahkan operasi pengeluaran mereka ke negara itu menerusi pelbagai insentif pelaburan.
Langkah berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar yang telah lama bertapak di Thailand.
Menurut Ekniti, perbezaan kadar cukai dan kelebihan perdagangan yang diperoleh sesetengah negara menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) boleh menyebabkan syarikat automotif mempertimbangkan untuk memindahkan operasi pengeluaran ke negara jiran.
Beliau menjelaskan bahawa Thailand tidak boleh menaikkan tarif import terhadap negara rakan FTA sesuka hati. Oleh itu, kerajaan bercadang menggunakan mekanisme cukai eksais sebagai instrumen utama untuk mengekalkan daya saing industri automotif domestik.
Di bawah cadangan baharu itu, syarikat automotif yang melabur dalam kemudahan pengeluaran di Thailand akan menikmati kadar cukai lebih rendah.
Insentif tersebut merangkumi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid plug-in (PHEV) serta kenderaan elektrik bateri (BEV).
Bagaimanapun, pengeluar perlu memenuhi beberapa syarat termasuk melaksanakan pelaburan sebenar dalam pembinaan kilang, menggunakan bahan mentah atau komponen tempatan serta menghasilkan kenderaan untuk pasaran eksport.
Sebaliknya, syarikat yang hanya mengimport kenderaan siap dipasang tanpa sebarang pelaburan pembuatan di Thailand dijangka dikenakan kadar cukai eksais yang lebih tinggi.
Kerajaan Thailand percaya pendekatan itu bukan sahaja dapat melindungi industri tempatan dan peluang pekerjaan, malah berpotensi meningkatkan hasil negara menerusi kutipan cukai daripada kenderaan import.
Pada masa sama, Thailand turut memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan pasaran eksport bagi menyokong peralihan industri daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan elektrik.
Ekniti dijadual menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, ke Australia dan New Zealand bagi meneroka peluang baharu eksport automotif serta memaksimumkan manfaat perjanjian perdagangan bebas sedia ada dengan kedua-dua negara tersebut.
Beberapa pengeluar kenderaan elektrik dilaporkan telah mula mengeksport model yang dipasang di Thailand ke Australia dan New Zealand, dengan jumlah penghantaran dijangka terus meningkat seiring pertambahan kapasiti pengeluaran.







