
TOKYO AUTO SALON MALAYSIA 2026 GEGARKAN MAEPS OKTOBER INI – TIKET DARI RM48
Tokyo Auto Salon Malaysia (TASM) 2026 bakal kembali memeriahkan kalendar automotif negara apabila berlangsung selama tiga hari di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Acara yang diinspirasikan daripada Tokyo Auto Salon di Jepun itu dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, menawarkan pengalaman gaya hidup automotif yang menggabungkan dunia modifikasi, budaya JDM, sukan permotoran dan hiburan dalam satu lokasi.
Lebih menarik, pelakon terkenal francais filem Fast & Furious, Sung Kang yang dikenali menerusi watak ikonik Han, disahkan akan hadir ke Malaysia sebagai tetamu khas acara tersebut.

Kehadiran beliau dijangka menjadi antara tarikan terbesar kepada peminat automotif dan penggemar filem aksi dari seluruh rantau ini.
Tokyo Auto Salon Malaysia 2026 menampilkan konsep “Step Into Japan’s Ultimate Ignition City”, membawa pengunjung menyelami suasana budaya automotif Jepun yang terkenal dengan kreativiti, prestasi dan identiti tersendiri.
Antara segmen utama yang bakal menghiasi acara termasuk pameran kereta ubah suai, perhimpunan komuniti JDM, aktiviti sukan permotoran, penyertaan tuner terkenal, demonstrasi drift secara langsung serta pelbagai pilihan makanan dan hiburan untuk seisi keluarga.
Penganjuran edisi tahun depan turut dilihat sebagai platform penting bagi menghimpunkan pemilik kenderaan, pengubah suai profesional, jenama automotif, pencipta kandungan serta komuniti peminat kereta dari Malaysia dan negara jiran.

Selain menampilkan jentera yang diubah suai dengan pelbagai gaya dan spesifikasi unik, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi drift yang dijangka menjadi tumpuan utama sepanjang acara berlangsung.
Penganjur turut menyasarkan Tokyo Auto Salon Malaysia 2026 sebagai destinasi gaya hidup automotif yang bukan sekadar mempamerkan kenderaan, tetapi turut meraikan kreativiti, teknologi, budaya dan semangat komuniti yang berkembang pesat dalam dunia automotif moden.
Bagi pencipta kandungan digital, jurugambar dan videografer, acara ini menawarkan pelbagai peluang menghasilkan kandungan visual menarik menerusi pameran kenderaan eksklusif, aksi drift serta kehadiran tokoh-tokoh automotif terkenal.

Tiket untuk Tokyo Auto Salon Malaysia 2026 akan mula dijual pada penghujung Ogos 2026 dengan harga bermula RM48.
Pelbagai kategori tiket disediakan termasuk Early Bird, Student Pass, Family Pass, Early Entry Pass, Collector Fast Lane, 3-Day Access Combo serta pakej VIP Experience.
Dengan gabungan budaya automotif Jepun, aksi sukan permotoran, kereta modifikasi bertaraf antarabangsa dan kemunculan khas Sung Kang, Tokyo Auto Salon Malaysia 2026 dijangka menjadi antara acara automotif paling dinantikan.

