Buletin

TOYOTA GAZOO RACING MALAYSIA VIOS CHALLENGE PUSINGAN 3 BAKAL TENTUKAN JUARA MUSIM 2025

Dua perlumbaan selama satu jam di Pusingan 3 Toyota GAZOO Racing Malaysia VIOS Challenge yang akan berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang dijangka menjadi penentu besar dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Dengan kedudukan mata yang masih rapat, sekurang-kurangnya tiga pelumba dalam setiap kategori – Super Sporting, Sporting dan Rookie, masih berpeluang untuk muncul juara keseluruhan.

Seperti Pusingan 2, ketiga-tiga kategori akan digabungkan dalam perlumbaan semi-endurance satu jam pada hari Sabtu dan Ahad. Pusingan ini turut berlangsung bersama Malaysian Touring Car Championship (Pusingan 3) dan Thailand Super Series (Pusingan 4).

Dalam kategori Super Sporting, juara bertahan Mitchell Cheah (83 mata) berdepan cabaran sengit daripada Freddie Ang (81 mata) dan Ady Rahimy (72 mata).

Bagi kategori Sporting, bekas pelumba Rookie, Jwan Hii, kini mendahului dengan 85 mata, diikuti Elson Lew (76 mata) dan pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun (62 mata), yang berpeluang mencipta sejarah sebagai juara luar negara pertama.

Saingan kategori Rookie pula kekal terbuka, dengan pelumba kart profesional Aydan Khaliq (94 mata) dan Rahul Dev (93 mata) mengetuai kedudukan, diikuti rapat oleh Harkiesh Geeva (72 mata), Ian James (71 mata), dan satu-satunya pelumba wanita, Genevieve Ooi (66 mata).

Pusingan ini dijangka menyaksikan aksi sengit dari awal hingga akhir, dan berpotensi mengubah landskap perebutan gelaran bagi musim 2025.

Google ads
Back to top button