Motosikal

RASMI: QJMOTOR SRV600V TIBA DI MALAYSIA – DENGAN ENJIN V4, RM33.8K

Antara model ‘berani’ dari QJMotor, SRV600V akhirnya tiba di Malaysia dengan harga jualan RM33,888.

Jolokan berani paling sesuai bagi mencerminkan tawaran terbaru dari MForce ini ekoran jentera berkonsepkan cruiser ini dipacu enjin V4. Hasilnya, SRV600V ini mampu menjana 67hp pada 10,500rpm dan 54Nm pada 8,000rpm.

Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan dan dipadankan bersama sistem pacuan akhir yang mengguna pakai tali sawat (belt) berbanding rantai.

Berbeza dengan cruiser lain dalam pasaran, QJMotor menggunakan pendekatan yang moden bagi pembangunan SRV600V ini sekaligus hadir dengan pencahayaan LED penuh, skrin TFT berwarna dengan fungsi bluetooth, TPMS (tyre pressure monitoring system) dan USB Type-A dan Type-C.

Dalam pada itu, motosikal ini turut dilengkapi dengan suspensi premium antaranya fork USD yang dibekalkan Marzocchi. Turut menyerlahkan rupa keseluruhan SRV600V ini adalah kehadiran ekzos empat tabung.

Brek pula dikendalikan cakera brek berkembar 300mm depan dan cakera brek tunggal 260mm belakang. ABS dan traction control juga didatangkan secara standard.

Antara perincian lain dinyatakan termasuk:

  • ketinggian tempat duduk 720mm
  • tangki bahan api berkapasiti 16.5L
  • berat 219kg

Bagi pasaran tempatan, QJMotor SRV600V hadir dengan tiga warna pilihan; Night Black, Sky Black dan Silver.

Google ads
Back to top button