Artikel Pilihan

TOYOTA VELLFIRE – MPV PREMIUM YANG LARIS. TAPI KENAPA?

Sebut sahaja Toyota Vellfire, mungkin 99 peratus penduduk Malaysia tahu, ia kenderaan jenis apa. Sebuah MPV besar tujuh tempat duduk (atau lapan) yang menjadi raja MPV di Malaysia sejak Toyota Jepun memperkenalkannya pada 2008.

Tapi kenapa ia begitu popular?

Malaysia, masih lagi tipikal negara Asia Tenggara yang menggemari kereta Jepun, lebih dari kereta-kereta dari Korea atau Eropah. Toyota telah membina reputasi cemerlang di wilayah sebelah sini. Dari kereta penumpang lasak seperti Corolla, 4X4 offroad yang menjadi lambang taukey balak – Land Cruiser dan juga zaman lebih moden di mana Toyota Hilux yang digunakan di mana sahaja.

Bak kata Jeremy Clarkson – Jika perang nuklear berlaku, hanya ada dua makhluk yang akan kekal di bumi. Lipas dan Toyota Landcruiser.

Toyota terkenal dengan teknologinya yang asas tetapi lasak. Ia tidak seperti sebuah kereta Jerman yang mempunyai 23 gear kelajuan dan 40 klac. Atau enjin kecil turbo yang mampu mencatat 250km bagi satu liter. Atau susunan suis pelbagai fungsi canggih dalam kokpit yang akhirnya “cair” dek kepanasan tropika.

Kereta-kereta Toyota dibina untuk menghubungkan titik A ke B. Teknologinya sederhana, penggunaan bahanapinya pun hanya fokus pada model hybrid, tapi yang lebih penting. Ia boleh dipandu sehingga 1 juta kilometer tanpa pembaikan yang besar.

ASAL USUL VELLFIRE

Untuk melihat Vellfire secara keseluruhannya, kita perlu “terbang” ke Jepun bagi melihat senario pemilikan kenderaan di sana.

Secara asasnya, Vellfire dihasilkan bermula pada model ANH10 Alphard yang diperkenalkan pada 2002. Namun pada ketika itu, ia masih menggunakan jenama Alphard (Vellfire hanya digunakan pada kerangka ANH20 – 2008)

Lebih awal lagi pada 1999, Toyota telah menghasilkan MPV bersaiz penuh yang dikenali dengan nama Granvia. Ia menggunakan kerangka “van” Hiace yang mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang tetapi diserapkan dengan elemen mewah di bahagian kabin. Ia termasuklah bumbung panoramik, kerusi boleh ubah, pemanas dan beberapa opsyen seperti langsir kawalan elektrik.

BACA: INI CALON MPV JEPUN BESAR DAN MAMPU MILIK

Alphard yang diperkenalkan pada 2002 itu pula merupakan percubaan berani Toyota untuk memasuki era MPV mewah. Ia menggunakan platform baru sebuah kerangka monocoque, enjin pacuan hadapan, pintu gelangsar kawalan elektrik dan posisi pemanduannya lebih mirip sebuah kereta berbanding sebuah van perdagangan.

Dan ia percaturan yang berjaya.

Mungkin juga kerana pasaran MPV mewah ketika itu belum ada saingannya yang kuat.

Ketika Alphard hadir, Nissan cuba meletakkan Elgrand E51 mereka di depan. Honda mencuba pada 2004 dengan Elysion (tetapi menghentikannya pada 2013)

Satu-satunya pesaing Alphard – Nissan Elgrand

VELLFIRE ANH20 – GENERASI PERTAMA (2008 – 2014)

Ini adalah Vellfire yang mengubah lanskap MPV mewah di Malaysia. Terima kasih kepada polisi import Malaysia yang membenarkan kenderaan terpakai di bawa masuk secara sah menerusi terma “recondition”.

Kereta-kereta recond ini telah mengubah cara orang kaya membeli MPV dan jika anda perasan, beberapa tahun sebelumnya, MPV mewah di Malaysia sebenarnya milik Toyota juga – iaitu Estima.

Kehadiran Vellfire menyebabkan Estima kelihatan seperti sebuah van Liteace. OK tipu.

Vellfire dan Estima sebenarnya fokus pada pasaran MPV mewah tetapi ternyata Vellfire menang dari segi saiz. Opsyen spesifikasi juga lebih banyak dan dengan permintaan yang melonjak, pengimport mula membawa masuk pelbagai spesifikasi.

Contohnya, anda boleh beli Vellfire spesifikasi X (model terkini) pada harga RM200,000 dengan lapan kerusi, fabrik biege, pintu gelungsur elektrik sebelah sahaja.

ATAU

Spesifikasi Executive Lounge dengan empat kerusi pilot lebih lebar, TV, peti sejuk, semua pintu kawalan elektrik dengan harga RM500,000.

Ya. Bayangkan julat harga yang membezakan dua buah kereta yang hampir sama. Namun ada kekurangannya sewaktu Vellfire generasi pertama ini.

Kalau anda berduit pun, tiada pilihan untuk membeli model baru dengan jaminan pengeluar. UMW Toyota tidak membawa masuk model ini secara sah (mereka ada bawa Estima sahaja)

BACA: 5 MPV BESAR BAWAH RM50K

Tapi kenapa walaupun recond dan terpakai ia tetap laku?

Seperti yang saya sebutkan tadi, reputasi Toyota.

Di Malaysia, kenderaan jenama Toyota bermaksud lasak dan jarang mendatangkan masalah. Jika rosak sekalipun, pomen di Kampung Batu Kapor Mentakap pun boleh dapatkan alat gantinya. Ia tidak memerlukan kemahiran sains angkasalepas untuk membaikinya.

Dan sebenarnya, ANH20 ada masalah tentang rak stereng yang kerap berbunyi dan “longgar” setelah beberapa tahun dipandu.

Tapi, disebabkan ia sebuah MPV popular, banyak bengkel menyimpan stok alatganti dan kerosakannya tidak menjadi isu besar di kalangan pemilik MPV ini.

VELLFIRE AGH30 – GENERASI KEDUA (2015 – SEKARANG)

 AGH30 diperkenalkan pada 2015 di pasaran Jepun. Menjelang 2016, ia mula masuk ke pasaran kereta import terpakai tempatan dan sepertimana sambutan generasi sebelumnya. Ia laris di Jepun malah gabungan Alphard dan Vellfire lebih laris dari kereta sedan Toyota di Jepun.

Ketika versi recond mula mendarat di Malaysia pada 2016, tidak banyak pilihan spesifikasi untuk dibeli kerana bilangan kereta yang diimport masuk adalah kecil. Harganya juga sekitar RM300,000 hingga RM400,000 untuk spesifikasi paling rendah 2.5 X hingga spesifikasi sederhana ZG. Model 3.5 EL pula lebih setengah juta ringgit.

Dan UMW Toyota merasakan saatnya sudah tiba. Menyedari Vellfire recon jualannya serancak Myvi, UMW Toyota membuat keputusan untuk membawa masuk model ini.

Ia adalah masa yang tepat kerana Vellfire AGH30 merupakan model baru dan pada 2016 mereka mengumumkan untuk membawa masuk dan mula menerima tempahan.

UMW Toyota akhirnya melancarkan Vellfire pada 2016 dengan harga RM245K dan satu spesifikasi sahaja (2.5L). Dalam masa yang sama, Alphard juga diperkenalkan dengan dua spesifikasi (3.5 dan 3.5 Executive Lounge)

Kini, pembeli sudah ada pilihan untuk memiliki sebuah Vellfire dengan jaminan pengeluar.

RECOND VS BARU

Berbeza dengan kereta-kereta recond, Vellfire di bawah UMW Toyota didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun.

Pada harga RM345K ia mula mendapat reaksi pasaran yang menganggapnya terlalu mahal.

Benar, jika anda bandingkannya dengan kereta recond.

Ini kerana kereta recond, datang dengan pelbagai spesifikasi. Namun jika dibandingkan dengan spesifikasi yang sama, Vellfire dari UMW Toyota tetap pilihan yang terbaik.

Walaupun Vellfire versi UMW Toyota tidak menggunakan terma JDM seperti X, Z, ZA, ZG, namun sebenarnya, spesifikasi paling hampir untuk dibandingkan dengan versi recond ialah ZG.

Perbezaan hanyalah pada bahagian kosmetik luaran yang mana rekaan bampar yang berbeza. Selain itu, ianya sama.

Enjin, transmisi, kerusi bersalut kulit dengan kawalan elektrik, pintu berkuasa dan tailgate berkuasa elektrik.

Dan anda tak perlu menggunakan google translator untuk memahami setiap fungsi pada bahagian audio dan kawalan panel meter sepertimana kenderaan recond.

Jika dilihat dari sudut harga pula. Model ZG recond dan Vellfire 2.5 UMW Toyota pula tidak banyak berbeza.

Harga bagi model recond 2017 ZG 2.5 dengan kerusi kulit (recond adalah opsyen) adalah sekitar RM290,000 (bagi gred 5 ke atas) dan perlu diingatkan, kereta-kereta recond yang diiklankan bukan harga ATAS JALAN. Kebanyakannya pula ada cas tersembunyi.

Kerusi bersalut kulit adalah peralatan standard Vellfire dari UMW-Toyota sedangkan versi recond, ia adalah opsyen, meskipun untuk varian high-spec Vellfire ZG

Jika diiklan murah, ada pekedai yang mengenakan cas “processing fee” setinggi RM5,000. Ada kos lain yang terlibat seperti insurans (sekitar RM9,000 tanpa NCD), pemeriksaan puspakom, sewaan cermin cerah (Vellfire recond semua cermin gelap – ini pun satu hal lain) dan pendaftaran di JPJ.

Pembeli juga tidak dilindungi jaminan kenderaan. Jaminan kenderaan dikeluarkan pihak ketiga seperti Opal atau Wheel Guard dengan bayaran tambahan sekitar RM1,500 hingga RM5,000 bergantung kepada opsyen.

Setelah dicampur kos-kos ini, perbezaan dengan vellfire baru dari UMWT tidak besar mana pun. Perlu diingatkan lagi, apa juga perbezaan yang dilihat, ada sesuatu yang jarang orang nampak.

Recond tetap sebuah kereta terpakai. Jadi, membandingkan antara keduanya perlu dilihat dari perspektif kenderaan terpakai VS Baru.

Sama sahaja kalau anda terfikir untuk beli sebuah Perodua Alza misalnya. Cuba semak harga Alza tahun 2017 dan bandingkan dengan harga sebuah Alza baru dari showroom Perodua. Tak banyak beza kan?

Sebab itu, kami  selalu menegaskan tentang perkara ini. Membandingkan versi recond dan versi jualan pengedar tempatan tidak akan pernah adil.

Pada banyak situasi, khususnya kereta jenama Jepun, versi BARU sentiasa menang dari banyak aspek walaupun sesetengahnya melihat harga yang jauh berbeza.

Banyak pembeli “matang” yang lazimnya telah membeli pelbagai jenis kereta samada terpakai, recond atau baru akan bersetuju tentang satu perkara. Kereta baru adalah tentang ketenangan fikiran. Pada era ini, hampir semua pengeluar memberi jaminan purata sehingga lima tahun pada kenderaan.

Tak perlu fikir bajet tambahan jika kereta mengalami masalah.

Membeli kereta recond adalah satu risiko jika anda kurang pengetahuan dan pengalaman. Dari masalah AP palsu, cukai import yang tidak dibayar, masalah cermin gelap yang tidak melepasi piawaian JPJ, spesifikasi palsu (low spec dimodifikasi ke spec tinggi menggunakan barang cap ayam) dan kereta kemalangan di Jepun yang dibaiki di sini.

Ia adalah pengalaman ngeri jika terlibat dengan masalah ini. Kawan baik saya sendiri pernah mengalaminya.

Beliau membeli Alphard recond belum daftar (unregister) dari pengedar tempatan. Setelah memandu beberapa bulan, minyak hitam kering tanpa disedari dan enjin terus gagal berfungsi.

Setelah diperiksa dengan teliti, terdapat kebocoran di bahagian bawah enjin. Pada awal pemeriksaan, nampak seperti oil sump tank yang retak.

Bahagian ini ditukar dan apa yang mengejutkan, sebenarnya bukan sump tank sahaja yang retak, tetapi bahagian bawak blok enjin itu sendiri yang mengalami retak kecil dan minyak pelincir menitis sedikit demi sedikit.

Apabila diperiksa dengan lebih teliti, kereta tersebut pernah mengalami kemalangan teruk di bahagian hadapan. Bahagian lain seperti crossmember, keseluruhan braket bahagian hadapan telah ditukar baru dan hampir tidak dapat dilihat langsung kesan pembaikannya.

Sebenarnya, terdapat peniaga yang tidak bertanggungjawab yang memang membawa masuk kereta-kereta kemalangan dan kemudiannya dibaiki semula. Ada beberapa cara yang pernah kami dengar.Kereta kemalangan di Jepun dan dibaiki di Jepun dan kemudiannya memasuki pusat lelongan dan dijual sebagai gred rendah. Biasanya gred dua ke bawah.

Atau

Kereta yang mengalami kemalangan di Jepun tetapi dibaiki di Malaysia. Yang ini biasanya lebih murah tetapi tidak langsung disertakan dengan kertas pemeriksaan gred Jepun (inspection note)

JIKA MAMPU, BELILAH YANG BARU

Perkara ini tidak timbul jika ia sebuah kenderaan baru. Membeli dari pengedar sah akan memberi anda banyak kelebihan.

Ia didatangkan jaminan pengeluar tanpa had perbatuan, spesifikasi khas telah dibuat untuk pasaran tropika, kesemua arahan, suis dan paparan dalam bahasa Inggeris standard, cermin cerah asli Toyota dan ia adalah spesifikasi terkini.

Terkini?

Ya. Untuk model 2018, Toyota telah memperbaharui beberapa bahagian seperti fungsi enjin start/stop, pengecas tanpa wayar dan kemasan kosmetik.

Lampu hadapan model 2018 juga berbeza dengan keluaran 2015 – 2017. Ia didatangkan dengan rekaan baru yang sedikit “labuh” dan lebar dan digandingkan dengan lampu membelok (yang hanya terdapat pada model ZG serta EL versi recond yang lebih mahal)

Lampu belakang model 2018 juga didatangkan dengan rekaan LED “bersegi” yang baru.

Apa lagi kelebihannya?

Mungkin ramai yang beranggapan, spesifikasi Jepun selalunya lebih tinggi. Benar, jika anda membeli varian spesifikasi penuh yang lazimnya lebih mahal berbanding model baru di sini.

Misalnya, sunroof berkembar pada model JDM, turut ditawarkan oleh model yang dijual menerusi UMW. Model baru 2018 ini juga didatangkan dengan fungsi Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Blind Spot Monitor yang tiada pada model recond 2015 – 2017.

Sementara itu, fungsi-fungsi pada model recond seperti iluminasi lampu siling, kamera undur, smart entry, meter ornamentasi (Dengan paparan arahan dalam bahasa Inggeris) turut ada.

Pendek kata, dengan jaminan 5 tahun tanpa had perbatuan, spesifikasi khusus untuk Malaysia, kemudahan penyelenggaraan yang tersedia di pusat servis Toyota memberi jaminan ketenangan fikiran. Toyota Malaysia juga menjamin setiap model yang dijual, ketersediaan alatgantinya adalah untuk tempoh 10 tahun.

Makna kata, kalau kereta ni rosak pada 2028, masuk pusat servis Toyota, mereka tetap ada apa juga alatgantinya.

 

Tags
Google ads
Back to top button