
Semasa kami buat rebiu penuh untuk Toyota Vios 1.5G generasi baharu 3 tahun lepas, satu cir pelik yang kami yang perhatikan ialah ruang kargo belakang Vios baru ketika itu kelihatan terlalu kosong. Bahagian bawah lantai boot seperti ada ruang yang sengaja ditinggalkan dan tiada tayar kecemasan diletakkan.
Ketika itu kami sudah merasakan yang Toyota sebenarnya sedang bersedia untuk menghasilkan Vios varian hybrid. Dan akhirnya pada tahun 2026, Toyota Vios HEV akhirnya tiba juga di pasaran pada masa yang sukar.
Untuk rekaan luaran, Vios HEV ni nampak hampir sama macam Vios biasa versi petrol. Tambahan pula Toyota tidak menggunakan logo Toyota dengan latar belakang biru seperti kebanyakan model hybrid lain. Malah jika dilihat dari arah depan, kebanyakan pengguna mungkin tak sedar pun ini sebenarnya sebuah hybrid.

Yang membezakannya hanyalah logo tulisan HEV, rekaan rim 16 yang berbeza, dan bodykit tambahan yang menjadikan Vios HEV ini nampak lebih alfa berbanding dengan model hibrid lama dengan rekaan bujur seperti telur ayam kampung.
Kemasan boot spoiler, splitter depan, side skirt dan rear diffuser mampu membuatkan pembeli muda tertarik selain dari faktor penjimatan bahan api. Berbanding model awal yang nampak agak kosong, versi HEV ni nampak lebih lengkap dan sporty.
Rekaan keseluruhan masih mengekalkan konsep fastback design dengan garisan bumbung belakang yang aerodinamik, cuma kali ni nampak lebih kemas dan premium. Dengan tambahan diffuser pada bampar belakang, Vios HEV nampak mampu bersaing dengan jenama lain

Memasuki bahagian kabin, perubahan yang dijelmakan oleh Toyota menjadi lebih jelas menerusi beberapa sentuhan khas untuk membezakan varian HEV dengan Vios petrol. Antaranya suisialah suis berwarna biru, lampu kabin 64 warna, skrin infotainment 10.1 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wireless, serta wireless charger.
Malah penumpang belakang menerima dua port USB-C. Cuma disebabkan ia masih menggunakan rekaan lama Vios petrol, varian HEV turut datang dengan beberapa kelemahan seperti ruang kepala di bahagian belakang bukan yang terbaik dalam kelasnya.
Roda stereng pula walaupun sedap dipegang, pelarasan reach dan height masih agak terhad menjadikan posisi pemanduan tidak berada dalam keadaan optimum untuk mendapatkan posisi pemanduan yang ideal bagi perjalanan jarak jauh.

Di bawah hud depan, Vios HEV menggunakan enjin 2NR-VEX 1.5 liter dengan nisbah mampatan lebih tinggi pada 11.5:1. Enjin ini mampu menghasilkan 91 PS dan 121 Nm tork manakala motor elektrik pula menyumbang sekitar 59 PS dan 141 Nm. Dalam gabungan kuasa sistem ini menghasilkan sekitar 111 PS secara keseluruhan.
Bateri hybridditukar kepada bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWh, manakala bateri 12V diletakkan dalam ruang kargo belakang. Walaupun dengan kehadiran sistem hybrid, ruang kargo masih menawarkan ruang yang memuaskan sekitar 460 liter. Jadi dari segi praktikaliti, Vios HEV ni masih sangat “OK” untuk keluarga kecil atau kegunaan harian.
Apa yang paling mengejutkan penulis sebenarnya ialah cara Vios HEV beraksi di jalan. Terdapat tiga mode pemanduan yang ditawarkan samaada Power, Eco dan Normal. Dalam mode Power, Toyota memberikan angka pecutan 0-100 km/j sekitar 7.5 saat sahaja, jauh lebih pantas daripada Vios 1.5G biasa yang memerlukan masa sekitar 12 saat.

Walaupun motor elektrik Vios HEV bukanlah memberikan lonjakan pecutan seperti EV, keseluruhan operasi sistem HEV ini sangat lancar dan beroperasi seperti sebuah EV. Malah dalam mode pemanduan Normal sekalipun Vios HEV ini terasa “effortless”, senyap dan kuasa dihantar secara linear.
Apa yang menarik ialah sistem hybrid Vios bukanlah menggunakan sistem power split device seperti yang digunakan oleh Toyota Prius atau Corolla Cross Hybrid yang lebih mahal. Sebaliknya, Toyota menggunakan sistem satu motor elektrik, dengan klac dan gear reduction. Walaupun lebih ringkas, sistem ini beroperasi dengan lembut dan cemerlang
Pada halaju sekitar 80-90 km/j, amat sukar untuk mendengar atau meneka bilakah enjin digunakan. Aspek NVH memang jauh lebih baik berbanding Vios petrol biasa. Hanya pada kelajuan tinggi sahaja barulah bunyi enjin mula menderam masuk ke dalam kabin.

Purata penggunaan petrol pula memang sangat menjimatkan. Walaupun Toyota mendakwa Vios HEV sekitar 27.8 km/l tetapi dalam pemanduan bandar yang sesak Vios HEV boleh menawarkan purata 28.6 km/l, manakala untuk pemanduan di lebuh raya pula ialah sekitar 21 km/l walaupun sesekali meter mencecah 130-140 km/j.
Dalam aspek pengendalian, seklai lagi Vios HEV mengejutkan penulis. Disebabkan bateri hybrid diletakkan bawah tempat duduk belakang dan rendah di lantau, pusat graviti Vios HEV menjadi lebih rendah, menghasilkan moment of inertia yang rendah.
Maksudnya apabila input stereng diberikan, bahagian belakang kereta terus mengikut arahan stering dengan cepat bagaikan sebuah kereta sport bukannya kereta hibrid.

Walaupun Vios HEV adalah 125 kg lebih berat, agihan beratnya terasa lebih sekata di depan dan belakang kereta. Hasilnya ialah olengan cesi menjadi sangat kurang, dive masa membrek kurang dan squat semasa memecut menjadi lebih terkawal. Ini antara sedan B-segment yang benar-benar terasa sporty di selekoh.
Toyota turut memasang brek cakera pada keempat-empat roda, menjadikan brek lebih responsif baik ketika brek mekanikal mahupun ketika brek regeneratif berlaku. Pengguna boleh memilih mode “B” pada gear untuk regenerative braking yang lebih kuat masa turun bukit atau nak kurangkan penggunaan brek biasa. Cuma sayang Vios HEV tiada paddle shift seperti Innova Zenix.
Platform DNGA-B pula nampaknya banyak membantu dari segi refinement dan sistem keselamatan. ADAS terasa lebih bagus daripada model lama, terutama radar dan sensor placement yang lebih tepat. Sistem AEB juga lebih sensitif dan cepat bertindak.

Tapi masih ada beberapa kelemahan kecil yang perlu diredhai oleh pembeli baru. Sebagai contoh skrin infotainment walaupun besar, interfacenya masih nampak biasa. Kamera 360 pula nampak kurang terang waktu malam dan suapan video agak lambat berbanding sistem moden dari China.
Dan di sinilah cabaran terbesar Vios HEV sebenarnya. Kualiti kelengkapan dan peralatan yang ditawarkan pada Vios HEV terasa kurang mewah dan lengkap apabila dibandingkan dengan kenderaan dari jenama China yang ditawarkan pada harga lebih kurang sama
Malah kehadiran Vios HEV yang agak lambat di pasaran iaitu ketika kebanjiran model HEV dan PHEV murah dari China sekaligus “mencuri” pembeli untuk berpaling dari Toyota, mungkin untuk memberli Chery Tiggo HEV pada harga RM 99,000 ataupun Proton Emas.7 PHEV pada harga RM 109,000.
Namun pada harga RM 103,900 Vios HEV mempertaruhkan kelebihan aspek reputasi Toyota yang meliputi kekuatan kualiti, nilai jualan semula, kos penyelenggaraan dan keyakinan jangka panjang pengguna.

Dengan 200 liter RON 95 sebulan, Vios HEV mampu memberikan perjalanan sejauh 5560km menjadikan anda tidak perlu mencatu atau mengatur gaya hidup dengan bebas.



