
RED BULL SAH MULAKAN PRODUKSI HYPERCAR RB17
Hypercar eksklusif pertama daripada Red Bull, dikenali sebagai Red Bull RB17, kini semakin hampir menjadi realiti apabila proses pemasangan unit pertamanya sudah bermula.
Menurut laporan, penghantaran kepada pelanggan pula dijangka dilakukan sekitar musim bunga tahun depan.
Ketua program model berkenaan, Rob Bray, memaklumkan sesi ujian dan pembangunan akan dimulakan dalam masa beberapa minggu lagi sebelum model itu benar-benar bersedia untuk digunakan di litar.

Hypercar khas untuk litar itu mula diperkenalkan kepada umum ketika Goodwood Festival of Speed tahun lalu dan direka sendiri oleh legenda Formula 1, Adrian Newey.
RB17 menggunakan enjin V12 4.5 liter aspirasi semula jadi hasil pembangunan Cosworth yang mampu memerah sehingga 1,000hp serta mencapai putaran maksimum 15,000rpm.
Namun, kuasa itu dipertingkat lagi menerusi sistem hibrid dengan bantuan motor elektrik 200hp yang dipadankan bersama transmisi Xtrac, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 1,200hp.

Dari segi prestasi, RB17 dijangka memiliki berat kurang daripada 2,000 paun serta mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 220 batu sejam.
Jentera ini juga dikatakan mampu menghasilkan daya tekan ke bawah sehingga 3,747 paun, walaupun sistem aerodinamiknya perlu dilaraskan pada kelajuan tertentu bagi mengelakkan tekanan berlebihan terhadap tayar.
Rekaan akhir RB17 turut menerima beberapa perubahan berbanding versi awal yang dipertontonkan sebelum ini. Antaranya termasuk penambahan struktur tulang belakang di bahagian penutup enjin yang membantu meningkatkan daya aerodinamik pada sayap belakang kereta tersebut.
- BACA: MBS2026: MFORCE BAKAL PREVIU SKUTER ADVENTURE 250CC DUA SILINDER
- BACA: DARI AE86 HINGGA SKYLINE, LEBIH 5,000 PENGUNJUNG BANJIRI JDM NIGHT SHIFT VOL.3 X DARUL AMAN RETRO
- BACA: OMODA O5 DAN TIGGO CROSS KINI HADIR DENGAN REBAT SEHINGGA RM8,888
- BACA: TOYOTA YARIS CROSS RASMI DILANCARKAN – ICE DAN HEV, HARGA MULA RM99K



