
OMODA | JAECOO CATAT JUALAN 30,000 UNIT DI MALAYSIA
OMODA | JAECOO terus membuktikan pengaruhnya dalam pasaran automotif tempatan apabila berjaya merekodkan lebih 30,000 jualan terkumpul di Malaysia sejak jenama itu diperkenalkan pada Julai 2024.
Pencapaian tersebut sekali gus memperlihatkan perkembangan pesat jenama berkenaan yang kini muncul antara pengeluar automotif paling pantas berkembang di Malaysia, selain turut menunjukkan momentum kukuh di peringkat global.
Dalam tempoh kurang tiga tahun, OMODA | JAECOO sudah menembusi 64 pasaran antarabangsa dan berjaya mencatat jualan lebih satu juta unit di seluruh dunia.
Perkembangan itu dipacu permintaan yang semakin meningkat di rantau Eropah, Asia dan Timur Tengah terhadap teknologi serta mobiliti tenaga baharu yang diperkenalkan syarikat berkenaan.

Di Malaysia, sambutan positif pengguna terhadap gabungan teknologi moden, prestasi, reka bentuk premium dan ciri gaya hidup menjadi antara faktor utama pertumbuhan jenama itu.
Kejayaan jualan 30,000 unit tersebut turut didorong oleh pengenalan beberapa model baharu seperti J5 dan C9 PHEV, selain model sedia ada termasuk J7, J7 PHEV, J8 dan C9 yang terus mendapat perhatian pasaran.
Malah, OMODA | JAECOO kini berada dalam kelompok tiga jenama automotif bukan nasional terbaik di Malaysia bagi tahun ini.
Ketua OMODA | JAECOO Malaysia, Chris Tan berkata, pencapaian itu merupakan hasil sokongan berterusan daripada pelanggan, rakan pengedar serta semua pihak yang terlibat dalam perkembangan jenama tersebut.
Menurutnya, kepercayaan yang diberikan pengguna menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan syarikat di Malaysia.
Dalam masa sama, OMODA | JAECOO turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penawaran mobiliti pintar dan elektrifikasi menerusi pengenalan teknologi baharu serta rangkaian model lebih pelbagai pada masa akan datang.
Jenama itu juga yakin strategi berkenaan mampu memenuhi kehendak pengguna tempatan yang semakin mahukan pengalaman pemanduan moden dan premium.
- BACA: DETIK CEMAS DI STESEN PENGECAS, BAYI TERPERANGKAP SELEPAS EV ‘AUTO LOCK’
- BACA: RED BULL SAH MULAKAN PRODUKSI HYPERCAR RB17
- BACA: MBS2026: MFORCE BAKAL PREVIU SKUTER ADVENTURE 250CC DUA SILINDER
- BACA: DARI AE86 HINGGA SKYLINE, LEBIH 5,000 PENGUNJUNG BANJIRI JDM NIGHT SHIFT VOL.3 X DARUL AMAN RETRO









