Buletin

DETIK CEMAS DI STESEN PENGECAS, BAYI TERPERANGKAP SELEPAS EV ‘AUTO LOCK’

Seorang wanita berkongsi pengalaman mencemaskan apabila anak kecilnya berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam kereta elektrik (EV) selepas kenderaan itu dipercayai terkunci secara automatik ketika sedang dicas di sebuah stesen pengecasan di wilayah Kamphaeng Phet, Thailand.

Perkongsian tersebut dimuat naik di Facebook oleh pengguna dikenali sebagai Ma’mind LY sebagai peringatan kepada pemilik EV agar lebih berhati-hati, khususnya ketika meninggalkan anak kecil di dalam kereta walaupun untuk tempoh singkat.

Menurut wanita itu, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam ketika dia berhenti untuk mengecas bateri keretanya.

Dia mengakui sering keluar dari kenderaan untuk menyambungkan pengecas tanpa membawa kunci bersama kerana sebelum ini kereta tidak pernah terkunci secara automatik.

Namun kali ini situasi bertukar cemas apabila dia mendapati pintu kereta tidak dapat dibuka selepas selesai proses pengecasan, sedangkan anak perempuannya masih berada bersendirian di dalam kenderaan.

“Saya memang cuai sebab tinggalkan kunci dalam kereta. Sebelum ini tiada masalah, jadi saya buat seperti biasa. Tapi kali ini kereta terkunci sendiri,” katanya dalam hantaran tersebut.

Wanita itu berkata dia bernasib baik kerana telefon bimbit berada di tangannya ketika kejadian berlaku, membolehkan dia segera menghubungi pusat bantuan kecemasan serta mencari tukang kunci berhampiran menerusi Google Maps.

Katanya, seorang mekanik datang membantu dalam tempoh kurang 30 minit dan berjaya membuka pintu kereta dengan selamat.

Dalam tempoh menunggu bantuan tiba, anak kecilnya dilaporkan menangis tanpa henti sehingga mereka hampir panik.

“Kami cuba bertenang sebab kalau panik keadaan jadi lebih buruk. Mujur ada individu baik hati yang datang membantu,” katanya lagi.

Lebih menyentuh hati, mekanik terbabit enggan menerima bayaran selepas membantu membuka pintu kereta.

Wanita itu bagaimanapun bercadang untuk kembali bertemu lelaki tersebut bagi mengucapkan terima kasih secara peribadi.

Dia turut memaklumkan tidak pasti sama ada anaknya secara tidak sengaja menekan butang kunci pada skrin infotainmen atau sistem kenderaan itu sendiri yang mengaktifkan mod kunci automatik ketika pengecas disambungkan.

Menurutnya, ketika pengecas dipasang, kereta mengeluarkan bunyi amaran bersama bunyi seperti pintu dikunci sebelum dia menyedari anaknya bergerak ke bahagian depan kenderaan.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan sistem keselamatan automatik pada EV moden.

Wanita terbabit berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak meninggalkan anak kecil bersendirian di dalam kereta serta sentiasa membawa kunci bersama ketika keluar dari kenderaan, walaupun hanya untuk seketika.

Google ads
Back to top button