Artikel PilihanBuletin

TRAK “FLAT-PACK” PASANG SENDIRI – PENYELESAIAN PENGANGKUTAN NEGARA MEMBANGUN

Istilah flat-pack dipopularkan oleh pakar perabot dunia, IKEA. Ia diceraikan dan dibungkus dengan kemas agar mudah dihantar kepada pengguna. Teknik ini sangat popular dan telah menjimatkan kos penghantaran berbanding perabot yang telah siap dipasang. Kini teknologi ini telah dikembangkan kepada industri trak ringan yang dinamakan OX.

OX merupakan idea Sir Torquil Norman yang merupakan pengasas Global Vision Trust (GVT) 5 tahun lalu. Ia sebenarnya kesinambungan daripada projek ‘Africar’ seawal tahun 1980. Ketika itu mereka membawa komponen mekanikal Citroen 2CV dan digabungkan dengan rekaan berasaskan plywood yang kukuh untuk menghasilkan kereta yang sesuai digunakan di negara-negara membangun. OX mempunyai matlamat yang sama tetapi dengan cara yang sedikit berbeza.

trak pikap flat (6)

Untuk membawa masuk sebuah trak yang siap dipasang ke sesebuah negara membangun memang agak sukar, tetapi OX mempunyai cara penyelesaiannya yang tersendiri. Ianya sebuah trak pelbagai guna yang lasak, cukup gagah untuk menakluk mukabumi yang mencabar tetapi boleh diselenggara oleh sesiapa saja.

OX cukup unik kerana ia dihasilkan dalam bentuk flat-pack. Ini membolehkan kenderaan ini dibawa kemana-mana negara dengan kos yang lebih rendah bagaikan sebuah kotak yang telah dilipat. 6 buah trak OX boleh dimuatkan di dalam satu kontena pada satu-satu masa untuk mengurangkan kos penghantaran.

trak pikap flat (3)

Bagi memaudahkan pemahaman, bayangkan anda beli rak TV dari IKEA yang bersaiz 6X6 kaki misalnya. Selepas dibungkus dengan bijak, saiz perabot ini di dalam kotak hanyalah 1X1, 1/6 dari saiz fizikal sebenar. sudah tentu, ia memberi banyak ruang pada pasukan penghantaran, storan dan menjadikan produk tersebut praktikal untuk dibawa dengan motosikal sekalipun.

Ia juga menyediakan peluang pasaran di negara tersebut di mana sebuah syarikat tempatan akan dipertanggungjawabkan untuk memasang dan menyediakan perkhidmatan servis kepada OX. Sebuah OX boleh siap dipasang dalam masa 12 jam oleh tiga orang pekerja mahir.

trak pikap flat (4)

Rekaan OX juga disesuaikan dengan keadaan mukabumi negara di mana ia akan digunakan. Ia merupakan sebuah trak pacuan 2-roda untuk kemudahan tetapi dengan jarak kelegaan bumi yang tinggi, tayar yang besar dan sistem suspensi bebas untuk menakluk apa jua bentuk muka bumi. Guna dalam Felda pun ok jugak ni.

Untuk menyelesaikan masalah pemanduan kiri atau kanan di negara seperti Afrika yang mempunyai undang-undang jalan raya yang berbeza, tempat duduk duduk pemandu OX terletak di bahagian tengah. Selesai masalah. Ia dikuasakan dengan enjin disel Ford 2.2 liter yang menghasilkan cuma 99bhp tetapi tork maksima setinggi 310Nm memastikan OX mampu bergerak dengan gagah.

trak pikap flat (2)

OX juga mempunyai satu lagi kelebihan – ia mampu mambawa beban sebanyak 1900kg di bahagian kargo. Jauh lebih banyak daripada pikap biasa dan hampir dua kali ganda bebanan yang mampu di bawa oleh Toyota Hilux double-cab.

Ini lagi menarik. GVT telah mendapatkan khidmat Professor Gordon Murray untuk menghasilkan rekaan OX ini. Siapa Professor Gordon Murray ni? Professor Gordon Murray merupakan orang yang bertanggungjawab mereka dan menghasilkan supercar paling laju suatu ketika dulu, McLaren F1. Banyak juga kereta-kereta F1 yang telah mendapat sentuhan beliau. Kalau tak kenal McLaren F1 silalah terjun longkang.

trak pikap flat (5)

Professor Murray juga berkata beliau lebih menggemari trak OX ini berbanding McLaren F1 kerana ia mampu dimiliki oleh semua golongan berbanding McLaren F1 yang cuma mampu dimiliki oleh mereka yang terlampau kaya di seluruh dunia. Trak ini sungguh unik kerana ia mampu membawa 13 orang penumpang, 44 tong drum dan 3 pallet bersaiz standard pada satu-satu masa.

Kini kedua perintis projek ini berharap untuk mendapat pelaburan daripada pengeluar-pengeluar besar untuk menjadikan projek ini satu kenyataan. Mereka mensasarkan untuk mengeluarkan 10,000 unit trak ini setahun. Agak-agak Proton mahu tak melabur dalam industri trak ringan?

Sir Torquil menyatakan maklumbalas yang diterima dari Afrika amat menggalakkan khususnya dari agensi-agensi bantuan yang berkhidmat di sana. OX bakal membuat pembaharuan dan kini mereka berharap projek ini bakal menjadi kenyataan. Impian beliau ialah untuk melihat OX berada di setiap perkampungan di Afrika dan juga negara-negara dunia ketiga yang lain.

 

 

sumber

goldenmurraydesign

 

Google ads
Back to top button