
SKUTER 250CC TERPANTAS DI MALAYSIA ADA VERSI TERBARU – RM17,998
MODA dengan rasminya memperkenalkan Sporter S SKII untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM17,998.
Skuter 250cc itu merupakan antara skuter popular di pasaran tempatan sejak pelancaran model pertama pada Januari 2025.
Model SKII ini menerima beberapa naik taraf yang signifikan berbanding model sebelumnya antaranya meter TFT 7-inci dengan fungsi touchscreen, butang switchgear baharu, dashcam dengan rakaman HD, penghadang angin boleh laras secara elektronik, lampu DRL (daytime running light) baharu dan winglet aerodinamik.
MODA mendakwa winglet tersebut menyumbang kepada aliran angin yang lebih terurus lantas menyokong kestabilan jentera pada kelajuan tinggi. Cermin sisi yang sebelum ini ditempatkan di bahagian panel hadan kini dipindahkan ke bahagian handlbear.

Menurut MODA, suspensi belakang juga telah dipertingkat sekaligus menyumbang kepada tunggangan yang lebih stabil. Namun, kapasiti tangki bahan api kekal dengan 13 liter.
Dalam pada itu, Sporter S SKII ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 244cc SOHC 4-valve yang berupay menghasilkan 24.8hp pada 8,500rpm dan 22.5Nm pada 6,500rpm. Difahamkan, versi kedua ini juga mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 160km/j seperti model terdahulu.
MODA Sporter S SKII boleh didapati dalam dua warna pilihan, Porsch White dan Titan Blue.
GALERI: MODA SPORTER S SKII















