Buletin

VW CALIFORNIA 30 YEARS – VAN CAMPER KHAS SEMPENA 3 DEKAD

Sejak kebelakangan ini minat rakyat tempatan terhadap van camper semakin meningkat. Selain unit baharu yang diimport dari luar terdapat ramai pemilik yang mengubahsuai van sedia ada dengan pelbagai kemudahan di dalamnya.

Lokasi khas untuk van camper di tempat peranginan juga semakin banyak.

Salah satu van camper luar negara ialah Volkswagen California. Memang sedap nama California ini sama ada untuk van VW atau jenama eksotik seperti Ferrari.

Van ini pula telah lama wujud dan bagi meraikannya VW mengeluarkan versi istimewa California 30 Years yang dihadkan kepada 999 unit sahaja.

Daripada jumlah tersebut hanya 30 unit sahaja ditawarkan di United Kingdom. Maknanya ada peluang untuk model ini dibawa masuk ke Malaysia melalui pengimport bebas.

Van edisi terhad ini dibina dari varian tertinggi California Ocean. Bagi menjadikannya lebih istimewa, beberapa peralatan ditambah seperti berikut:

  • Nombor edisi khas dia tiang B
  • Lampu LED sepenuhnya
  • Bar penunda boleh ditanggalkan
  • Bumbung dan cermin sisi dengan dua pilihan warna Reflex Silver atau Indium Grey metalik
  • Warna baharu Turmeri Yellow
  • Sistem infohibur VW  Discover Media Navigation Pro dan App Connect untuk sambungan aplikasi
  • Sensor parkir depan, belakang dengan pengimbas sisi
  • Kawalan jelajah
  • Kerusi dengan pemanas

Untuk nadi kuasa pula, pelanggan boleh memilih tiga pilihan iaitu 2.0 liter TDI (150 atau 199 PS) dengan transmisi DSG tujuh kelajuan. Satu lagi pilihan ialah 2.0 liter TDI 199 PS dengan pacuan empat roda 4MOTION.

California pertama kali dilancarkan pada tahun 1988 dan begitu popular di kalangan pelanggan yang mahukan sebuah van camper. Sehingga kini sebanyak 157,000 unit California telah terjual dengan empat generasi di pasaran.

Model terbaru California T6 dilancarkan pada tahun 2015 dengan jualan tahun 2017 telah mencecah 15,155 unit.

Sejak tahun 2004, kesemua van California dipasang oleh VW di kilangnya yang terletak di Limmer, Jerman.

Memiliki sebuah van camper tidak pernah murah. VW California 30 Years ini dipasarkan pada harga permulaan GBP 64,307 (RM 347,216 ) sehingga GBP 70,629 (RM 381,351).

Jika untuk sebuah van memang tinggi, tetapi jika untuk sebuah van dengan kemudahan seperti rumah, harga ini sebenarnya agak berpatutan.

BACA: CAMPERVAN KEICAR – APA LAGI, JOM PERGI JEPUN!

BACA: APA? VELLFIRE? ALPHARD? INI NISSAN NV300 CAMPER

Google ads
Back to top button